Jangan jadikan antirasuah sebagai senjata politik - ABIM

Iklan
Ahmad Fahmi

SHAH ALAM - Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) menggesa kerajaan dan semua pihak menghentikan budaya menggunakan kes rasuah sebagai alat ugutan serta tawar-menawar politik atau untuk menutup kelemahan tadbir urus.

Menurut Presidennya, Ahmad Fahmi Mohd Samsudin, pihaknya memandang serius kekeliruan dan keresahan rakyat berikutan isu rasuah yang kini dipersembahkan dalam bentuk retorik, persepsi serta perang propaganda.

Iklan
Iklan

Katanya, slogan antirasuah dilihat seolah-olah bertujuan mengukuhkan kuasa dan bukannya reformasi untuk membina negara.

"Rakyat tidak akan percaya kepada perang antirasuah jika tindakan dilihat selektif, tidak konsisten atau berubah mengikut musim politik.

Iklan

"Keadilan yang hanya tegas kepada musuh tetapi lunak kepada rakan bukan ‘reformasi’ dalam erti kata sebenar; ia adalah pengkhianatan terhadap prinsip keadilan dan pencabulan terhadap kepercayaan rakyat," tegasnya dalam kenyataan pada Khamis.

Justeru, beliau menuntut agar agenda antirasuah dipulihkan kepada landasan sebenar menerusi reformasi institusi yang jelas, berani dan boleh diukur.

Iklan

"Perkara itu antaranya termasuk memastikan kebebasan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), mempercepat pemisahan kuasa antara Peguam Negara dengan Pendakwa Raya.

"Selain itu, memperkukuh perlindungan pemberi maklumat, menggubal akta pembiayaan politik yang telus serta memantapkan sistem perolehan kerajaan agar tidak terus menjadi ruang kronisme," katanya.

Ahmad Fahmi berkata, hipokrasi politik tidak boleh dijadikan alasan untuk rakyat menyerah kalah kepada rasuah.

"Pada masa yang sama, kerajaan juga tidak boleh mengharapkan rakyat terus percaya jika agenda reformasi hanya kuat pada ucapan tetapi lemah pada pelaksanaan.

"Rakyat menilai melalui tindakan, bukan semata-mata slogan," ujarnya.

Tambahnya, negara tidak boleh dipimpin melalui ketakutan dan permainan fail, dokumen mahupun tangkap layar; sebaliknya mesti dipimpin melalui undang-undang, ketelusan dan integriti institusi.

"Ramadan ini, ABIM menyeru semua pemimpin dan pemegang amanah agar kembali kepada nilai takwa, berlaku adil dan menghentikan politik bermusim yang mengorbankan kepercayaan rakyat.

"Rasuah tidak akan tumbang dengan laungan, tetapi dengan keadilan yang konsisten, reformasi institusi yang tegas dan kesediaan memutuskan budaya kronisme," katanya lagi.

Perubahan yang dibuat: