PELABUHAN KLANG – Cubaan menyeludup masuk 186 tan sisa elektronik (e-waste) dari Kanada, Sepanyol dan Croatia digagalkan menerusi rampasan lima kontena yang mengandungi bahan buangan itu bernilai kira-kira RM2.15 juta di Pelabuhan Utara di sini pada 3 Februari lalu.
Sindiket dipercayai cuba mengaburi mata pihak berkuasa dengan menggunakan taktik membuat pengikraran tidak benar dalam dokumen dagangan dengan mengisytiharkan muatan sebagai campuran tembaga.
Tindakan itu dipercayai bagi mengelakkan keperluan mendapatkan permit sah di bawah peruntukan undang-undang berkaitan pengurusan sisa terjadual.
Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Pahang, Mohd Asri Seman berkata, serbuan kira-kira jam 11 pagi itu dijalankan oleh JKDM Pahang dengan kerjasama Jabatan Alam Sekitar (JAS) Selangor hasil risikan terhadap pergerakan kontena terbabit.
Beliau berkata, semakan mendapati lima kontena berkenaan dibawa masuk dari Kanada, manakala dua lagi dari Sepanyol dan satu dari Croatia.
"Pemeriksaan fizikal mendapati kandungan sebenar ialah sisa elektronik termasuk komponen komputer, kabel dan wayar terpakai dengan berat keseluruhan 186,737 kilogram.
"Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM2.15 juta dan kesemua kontena ini diimport tanpa permit sah seperti yang ditetapkan," katanya dalam sidang akhbar di Pelabuhan Utara di sini pada Khamis.
Katanya, maklumat awal diperoleh sejurus kontena terbabit tiba di pelabuhan berkenaan kira-kira dua minggu sebelum tindakan penahanan dibuat dalam sistem bagi menghalang sebarang pergerakan keluar.
"Siasatan awal mendapati e-waste ini dipercayai untuk pasaran sekitar Lembah Klang.
"JKDM Pahang juga sedang berusaha mengesan ejen serta pihak yang terlibat untuk tindakan lanjut," ujarnya.
Tambah beliau, kes disiasat di bawah Seksyen 135(1)(a) Akta Kastam 1967.
Mengulas lanjut, Mohd Asri menjelaskan tiada sempadan operasi dalam JKDM dan mana-mana bahagian penguatkuasaan negeri boleh bertindak berdasarkan maklumat risikan bagi mengelakkan kebocoran maklumat serta memastikan operasi berjalan lancar.