'Siasat aduan melibatkan pegawai awam ikut undang-undang' - Anwar

Iklan
Anwar berucap pada Majlis Perjumpaan Perdana Menteri bersama warga kerja kementerian sempena Perhimpunan Bulanan KDN dan Ihya’ Ramadan di Auditorium Setia Perkasa pada Khamis. Foto: Bernama

PUTRAJAYA - Sebarang aduan terhadap mana-mana pegawai awam mestilah disiasat dengan teliti mengikut lunas undang-undang, bukannya dibuat berasaskan persepsi atau dorongan politik.

Malah, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan siasatan yang dijalankan juga tidak boleh dilaksanakan secara tergopoh-gopoh.

Iklan
Iklan

“Orang yang berkorban puluhan tahun dalam semua agensi, kalau kelemahan itu melanggar prinsipnya ataupun kesalahannya besar, itu ikut proses undang-undang. Sama seperti mana yang dibicarakan sekarang dalam kes Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Kerana kebetulan orang itu kita tidak senangi atau bukan daripada kelompok kita ataupun kita berdendam kerana orang itu telah mengambil tindakan terhadap kelompok-kelompok yang dikaitkan dengan kita,” katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Perhimpunan Bersama Warga Kementerian Dalam Negeri (KDN) di sini pada Khamis.

Hadir sama, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail; Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar dan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail.

Iklan

Awal bulan ini, Bloomberg mendakwa Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, memiliki 17.7 juta saham Velocity Capital Partner Bhd, sebuah syarikat perkhidmatan kewangan yang tersenarai di Bursa Malaysia berdasarkan pemfailan tahunan oleh Velocity Capital kepada Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) pada 3 Februari tahun lalu.

Nilai pegangan tersebut dianggarkan hampir RM800,000 setakat penutupan dagangan pada 9 Februari lalu.

Azam, 62, bagaimanapun menafikan segala tuduhan tersebut.

Sehubungan itu, kerajaan menubuhkan Jawatankuasa Khas Siasatan yang diketuai oleh Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar, bagi menjalankan siasatan terhadap isu pemilikan saham Azam sebelum hasil siasatan dibentangkan kepada Perdana Menteri dan pasukan tatatertib.