Dadah bernilai RM1.56 juta dalam bonet kereta

Iklan
Alzafny(tiga dari kanan) menunjukkan bungkusan dadah yang dirampas

SEREMBAN - Dua lelaki ditahan bersama 30 kilogram (kg) dadah jenis syabu bernilai RM1.56 juta di tepi jalan Kilometer 236.9 Lebuhraya Utara-Selatan(PLUS) arah Selatan, minggu lalu.

Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad berkata, tangkapan itu hasil operasi bersepadu dilakukan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik(JSJN) Kontinjen Negeri Sembilan dengan kerjasama JSJN Polis Daerah Rembau serta Pasukan EMPV Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman pada 12 Februari lalu, jam 4 petang.

Iklan
Iklan

"Bertindak atas maklumat dan risikan, pasukan operasi telah menahan sebuah kereta jenis Perodua Bezza dinaiki dua lelaki warga tempatan di tepi jalan.

"Pemeriksaan lanjut pada kenderaan telah menemui 30 bungkusan dadah jenis syabu dianggarkan bernilai RM1.56 juta disorok dalam bonet kereta," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Negeri Sembilan pada Khamis.

Iklan

Menurutnya, kesemua dadah tersebut dibungkus menggunakan bungkusan teh cina dan diletakkan di dalam dua guni.

Tambahnya, pemeriksaan mendapati, kedua-dua suspek berusia lingkungan 30-an dan masing-masing bekerja sebagai mekanik dan nelayan selain berasal dari Batu Pahat, Johor.

Iklan

"Semakan rekod lampau mendapati, suspek pertama mempunyai dua rekod kesalahan narkotik serta satu rekod kesalahan jenayah, manakala suspek kedua mempunyai empat rekod kesalahan narkotik dan satu jenayah.

"Ujian saringan awal air kencing juga mendapati kedua-dua suspek positif dadah jenis methamphetamine,"katanya.

Alzafny berkata, siasatan awal mendapati, suspek aktif melakukan kegiatan ini sejak tahun lalu dan dipercayai menyasarkan pasaran di negeri-negeri selatan.

Ujarnya, kenderaan digunakan suspek merupakan kereta sewa dan dadah yang dibawa diambil dari kawasan di Puchong, Selangor.

"Suspek kini direman tujuh hari sehingga 19 Februari bagi membantu siasatan lanjut dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,"katanya.