Angkasa mahu lebih banyak koperasi jadi ejen MyKasih - Abdul Fattah

Iklan
Abdul Fattah (empat dari kanan) bergambar bersama tetamu jemputan dan penerima pada Majlis Sumbangan Ibu Tunggal dan Asnaf Program Sentuhan Kasih Di Ambang Ramadan di Galeri Tanjong Karang Utara, Jalan Sungai Kajang Tanjong Karang, Selasa.

KUALA SELANGOR - Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) berharap kerajaan melantik lebih banyak kedai runcit koperasi sebagai ejen program MyKasih bagi memudahkan penerima bantuan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) membuat pembelian barangan keperluan asas.

Presidennya, Datuk Seri Dr Abdul Fattah Abdullah berkata, ketika ini hanya 109 daripada kira-kira 3,600 kedai runcit koperasi di seluruh negara dilantik sebagai ejen MyKasih iaitu kurang daripada lima peratus.

Iklan
Iklan

"Kita mahu kedai-kedai koperasi termasuk koperasi masjid, sekolah dan kampung turut diberikan kebenaran serta dilantik sebagai ejen.

"Sekarang ini tidak banyak kedai koperasi yang boleh menebus bantuan SARA," katanya ketika ditemui semasa Majlis Sumbangan Ibu Tunggal dan Asnaf Program Sentuhan Kasih Di Ambang Ramadan di Galeri Tanjong Karang Utara, Jalan Sungai Kajang Tanjong Karang di sini pada Selasa.

Iklan

Abdul Fattah memberitahu, langkah itu penting kerana majoriti penerima bantuan termasuk dalam kategori B40 yang sebahagiannya terdiri daripada anggota koperasi yang tinggal di kawasan luar bandar serta kampung.

Beliau berkata, bantuan SARA bernilai RM100 sebulan perlu disalurkan melalui rangkaian kedai yang lebih dekat dengan komuniti supaya penerima tidak perlu bergantung kepada pasar raya besar semata-mata.

Iklan

"Di kampung bukan semua ada pasar raya besar atau premis yang memenuhi syarat ketat seperti zon penampan dan sijil tertentu.

"Banyak kedai koperasi beroperasi di tanah rizab atau tanah wakaf, justeru kita mohon kerajaan memberi sedikit kelonggaran kepada kedai koperasi supaya mereka juga boleh berperanan seperti kedai skim dan pasar raya besar dalam menjayakan program ini," tambah beliau.

Abdul Fattah berkata, jika sekurang-kurangnya 1,000 kedai koperasi dilantik, impaknya besar kepada ekonomi setempat kerana pembelian boleh dibuat secara pukal melalui rangkaian Angkasa sekali gus membantu menstabilkan harga barangan.

"Kita mahu sekurang-kurangnya 1,000 kedai koperasi didaftarkan secepat mungkin supaya penerima bantuan dapat menebus keperluan harian di kedai berhampiran rumah masing-masing," tambah beliau.