PUTRAJAYA- Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) digesa menyiasat naib canselor sebuah universiti awam atas pelbagai dakwaan salah laku termasuk penyelewengan dan rasuah,
Pengerusi Pembela Tanah Air (Peta) Melaka Mohd Zamri Abu Bakar berkata, pihaknya tampil membuat laporan di Ibu Pejabat SPRM selepas menerima dokumen dakwaan salah laku itu daripada beberapa sumber sejak sebulan lalu.
“Kami telah melakukan penelitian terhadap semua bahan yang diterima dan mengumpulkannya menjadi satu dokumen lengkap untuk diserahkan kepada SPRM agar tindakan lanjut dapat dibuat," katanya kepada pemberita di sini pada Khamis.
Menurut beliau, antara dakwaan yang dibangkitkan termasuk pembayaran berulang kali kepada individu sama bagi pelbagai tujuan sehingga mencecah puluhan dan ratusan ribu ringgit melalui baucar serta invois.
Beliau mendakwa terdapat juga penggunaan dana universiti bagi membiayai khidmat peguam luar yang didakwa mempunyai kaitan dengan kepentingan peribadi pihak tertentu dalam pentadbiran.
“Jika benar berlaku, ia satu penyalahgunaan kuasa kerana wang universiti adalah dana awam yang perlu diurus secara berintegriti dan telus,” ujarnya.
Selain itu, Mohd Zamri turut mempersoalkan beberapa lantikan kontraktor yang didakwa dibuat secara sebut harga dan bukannya tender terbuka atau terhad, termasuk dakwaan membabitkan individu mempunyai hubungan kekeluargaan dengan pihak pengurusan tertinggi.
Mohd Zamri berkata, pihaknya juga menerima maklumat berhubung isu perjawatan dalam pentadbiran universiti termasuk lantikan pegawai yang didakwa tidak memenuhi syarat kelayakan ditetapkan bagi sesuatu skim perkhidmatan.
Dalam masa sama, beliau membangkitkan persoalan mengenai pengurusan sebuah program atau entiti berkaitan pendidikan dan latihan teknikal yang didakwa menerima dana mencecah jutaan ringgit tetapi mencatatkan kerugian pada peringkat awal penubuhan.
“Kami difahamkan prestasi kewangan program tersebut tidak menunjukkan perkembangan memberangsangkan, sekali gus menimbulkan persoalan mengenai tahap tadbir urus dan pemantauan,” katanya.
Tambah beliau, terdapat juga dakwaan berhubung keputusan pentadbiran tertentu yang didakwa dibuat tanpa kajian terperinci sehingga menyebabkan pembaziran sumber.
Sehubungan itu, Mohd Zamri berkata, pihaknya menyerahkan sepenuhnya kepada SPRM untuk meneliti setiap dokumen dan maklumat yang dibekalkan.