KUALA LUMPUR – Tahap keselamatan di bangunan bertingkat dan berstatus strata di ibu kota perlu penambahbaikan dengan sistem pemasangan kebakaran yang sedia ada demi kesejahteraan penghuni terbabit.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Kuala Lumpur, Penolong Kanan Pesuruhjaya Bomba (PKPjB) Hassan As’ari Omar berkata, pihaknya memberi penekanan serius terhadap keperluan Fire Certificate atau Sijil Perakuan Bomba, khususnya bagi bangunan berstatus strata seperti kondominium dan pangsapuri bertingkat tinggi.
"Kita perlu memastikan semua sistem keselamatan kebakaran seperti sistem penggera, sprinkler, lampu kecemasan, laluan keluar dan peralatan pemadaman berada dalam keadaan baik dan mematuhi keperluan undang-undang.
"Pemilikan dan pembaharuan sijil ini adalah tanggungjawab pihak pengurusan bangunan dan pemilik strata, kita tidak akan berkompromi terhadap sebarang ketidakpatuhan yang boleh membahayakan keselamatan penghuni serta menyukarkan operasi penyelamatan," katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menghadiri Perbarisan Tahunan JBPM Kuala Lumpur di Balai Bomba dan Penyelamat Hang Tuah di sini pada Khamis.
Turut hadir Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus.
Hassan berkata, kebanyakan kematian dalam kebakaran berpunca daripada haba melampau dan asap beracun, bukan api semata-mata.
"Justeru, orang awam dinasihatkan supaya tidak berlindung di ruang tertutup seperti tandas atau bilik mandi semasa kebakaran, sebaliknya segera keluar melalui laluan kecemasan yang selamat," katanya.
Mengulas lanjut, Hassan berkata, JBPM Kuala Lumpur turut membekukan cuti 80 peratus daripada kira-kira 900 pegawai dan anggotanya sempena sambutan Tahun Baharu Cina 2026.
"Langkah itu bertujuan memastikan kesiapsiagaan tahap tertinggi, mengurangkan risiko kebakaran, dan meningkatkan keselamatan awam semasa musim perayaan," katanya.
Beliau berkata, bagi memastikan kesiapsiagaan sempena musim perayaan, JBPM telah melaksanakan Ops Siaga Raya 2026 melibatkan pengoperasian penuh semua balai bomba di Kuala Lumpur.
"Penugasan anggota secara strategik serta kerjasama erat bersama agensi keselamatan dan pihak berkuasa tempatan,
"Pendekatan proaktif ini bukan sahaja memberi tumpuan kepada respons, tetapi juga pencegahan awal melalui pemeriksaan keselamatan untuk mengurangkan insiden kebakaran dan kecemasan lain," ujarnya.