Wanita maut nahas BMW dan lori berhampiran sekolah

Iklan
Seorang wanita maut dan seorang lagi parah dalam kemalangan antara kereta dan lori di Nibong Tebal. Foto JBPM Pulau Pinang

NIBONG TEBAL - Seorang wanita maut manakala seorang lagi parah dalam kemalangan jalan raya membabitkan sebuah kereta dan lori berhampiran Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Jit Sin 2, Simpang Ampat, Jawi di sini pada Khamis.

Dalam kejadian kira-kira jam 2.45 petang itu, kemalangan melibatkan sebuah kereta jenis BMW dan sebuah lori.

Iklan
Iklan

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, John Sagun Francis berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 2.45 petang sebelum jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Bakap tiba di lokasi pada jam 2.54 petang.

Menurutnya, terdapat dua mangsa wanita yang tersepit di bahagian tempat duduk pemandu dan penumpang belakang kereta berkenaan sementara pemandu lori tidak mengalami kecederaan.

Iklan

“Komander operasi mengarahkan anggota menjalankan kerja menyelamat menggunakan peralatan khas kebombaan untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit.

“Semua mangsa berjaya dikeluarkan pada jam 3.05 petang. Salah seorang mangsa iaitu pemandu kereta disahkan meninggal dunia di lokasi oleh petugas Kementerian Kesihatan (KKM)," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Iklan

Tambah beliau, mangsa yang maut dikenali sebagai Low Hooi Meng berusia 53 tahun manakala seorang lagi mangsa wanita yang identitinya belum dikenal pasti mengalami kecederaan parah dan dihantar ke hospital untuk rawatan lanjut.

"Mayat mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya.

"Operasi yang melibatkan enam anggota bersama sebuah jentera FRT dari BBP Sungai Bakap itu turut dibantu polis, KKM serta Pasukan Bomba Sukarela Taman Sukun. Operasi tamat sepenuhnya pada jam 4.11 petang," ujarnya.