SHAH ALAM - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan telah menerima laporan berkaitan dakwaan isu penyelewengan pelaburan berjumlah kira-kira RM1.11 bilion melibatkan bekas menteri kanan di sebuah kementerian.
Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya berkata, SPRM akan meneliti keseluruhan laporan yang diterima.
Menurutnya, ini bagi menentukan sama ada wujud sebarang elemen rasuah, penyelewengan atau salah guna kuasa di bawah Akta SPRM 2009.
"Tindakan susulan termasuk meneliti dokumen dan bukti yang dikemukakan sebelum siasatan lanjut dijalankan seiring dengan komitmen terhadap integriti dan ketelusan dalam siasatan," katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Sebelum itu, laporan terbabit diterima daripada gabungan beberapa pertubuhan badan bukan kerajaan (NGO) kira-kira jam 2.00 petang, Khamis.
Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Syed Hasan Syed Ali dilaporkan berkata, laporan rasmi dibuat bersama Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) dan Pertubuhan Angkatan Nadi Jiwa Islam Malaysia (Panji Malaysia) bagi membolehkan siasatan terperinci dijalankan.
Menurut Syed Hasan, laporan itu dibuat susulan aduan serta persoalan yang diterima daripada orang ramai berhubung satu perjanjian kerajaan dengan syarikat luar negara.
Beliau turut meminta SPRM meneliti aliran wang kerajaan bagi memastikan tiada penyelewengan berlaku selain mendakwa kementerian terlibat merupakan kementerian penting yang mempunyai kepentingan besar kepada negara serta ekonomi.