KUANTAN - Pengguna Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) bakal menikmati kualiti liputan perkhidmatan internet dan telekomunikasi yang stabil dan berterusan melalui penyediaan infrastruktur rangkaian mudah alih di sepanjang jajaran apabila beroperasi kelak.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, dengan siapnya infrastruktur rangkaian itu kelak, syarikat pengendali rangkaian akan dapat menyediakan perkhidmatan 4G dan 5G kepada penumpang ECRL dengan tahap kualiti liputan mematuhi Standard Mandatori Kualiti Perkhidmatan (MSQoS).
Menurutnya, hal itu akan memastikan ketersambungan perkhidmatan internet dan telekomunikasi yang stabil dan berterusan sekali gus meningkatkan tahap keselesaan, keselamatan serta produktiviti para pengguna sepanjang perjalanan.
"Inisiatif ini selari dengan dasar kerajaan dalam memastikan liputan internet tersedia di sepanjang jalan raya, lebuh raya serta laluan pengangkutan utama negara termasuk jajaran ECRL.
"Dasar ini memberi penekanan kepada usaha menangani kawasan tanpa liputan di samping meningkatkan pengalaman pengguna melalui penyediaan rangkaian yang lebih stabil dan pantas," katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan sempena Majlis Pelancaran Khas Ketibaan Golden Tren EMU dan E-Loco Projek ECRL dan Penyerahan Surat Lantikan Penyedia Infrastruktur Rangkaian Mudah Alih Jajaran ECRL yang dirasmikan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke di Stesen Kotasas di sini pada Rabu.
Turut hadir, Ketua Setiausaha Negara merangkap Pengerusi MRL, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar dan Duta Besar Republik Rakyat China ke Malaysia,Tuan Yang Terutama Ouyang Yujing.
Fahmi berkata, pihak Maxis Berhad telah dilantik pihak Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) selaku pemilik Projek ECRL untuk menyediakan infrastruktur rangkaian mudah alih 4G dan 5G bagi kegunaan semua pengendali rangkaian mudah alih di sepanjang jajaran dari Kota Bharu, Kelantan hingga ke Jalan Kastam, Selangor.
Katanya, pendekatan itu bukan sahaja mengoptimumkan penggunaan infrastruktur, malah membolehkan penyedia perkhidmatan memberi tumpuan kepada usaha meningkatkan pengalaman pengguna serta kualiti perkhidmatan kepada rakyat.
"Kerjasama strategik ini mencerminkan sokongan industri terhadap dasar kerajaan dalam menggalakkan perkongsian infrastruktur rangkaian, selaras dengan kerangka Perkongsian Infrastruktur Rangkaian negara.
"Hasil kerjasama strategik ini memberi manfaat langsung kepada rakyat dan pengguna perkhidmatan pengangkutan awam," ujarnya.
Tambah beliau, pendekatan bersepadu itu turut membantu memperkukuh liputan rangkaian di sepanjang koridor ECRL yang merangkumi stesen, kawasan bandar, pembangunan bandar baharu berorientasikan transit (TOD), kawasan pinggir bandar serta luar bandar.
"Ini contoh nyata bagaimana pembangunan fizikal dan digital dapat bergerak seiring dalam membina ekosistem digital negara yang inklusif dan mampan.
"Impak pendekatan ini bukan sahaja dapat dilihat dari segi liputan, malah turut merangkumi aspek kualiti perkhidmatan yang diterima oleh para pengguna," katanya.