SHAH ALAM - Kementerian Perpaduan Negara (KPN) menyokong cadangan dikemukakan peguam, Mohamed Haniff Khatri Abdulla supaya sebuah jawatankuasa peringkat nasional ditubuhkan untuk menangani isu rumah ibadat tidak sah secara menyeluruh di seluruh negara.
Menterinya, Aaron Ago Dagang berkata, keanggotaan jawatankuasa itu hendaklah merangkumi pakar dalam hal ehwal agama, kerajaan tempatan, tanah dan undang-undang bagi memastikan penyelesaian yang adil serta mengikut peraturan.
Kementerian yang diterajuinya juga turut menyambut baik titah Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim yang menegaskan bahawa sebarang isu berkaitan pembinaan rumah ibadat mesti dipatuhi mengikut undang-undang dan tidak dipolitikkan.
"Titah Seri Paduka Baginda adalah panduan penting kepada semua pihak untuk sentiasa menghormati undang-undang serta menyelesaikan sebarang isu melalui saluran yang sah. Malaysia adalah sebuah negara berbilang agama dan budaya, dan tanggungjawab memelihara nilai- nilai perpaduan, keamanan, dan keharmonian terletak pada setiap rakyat tanpa mengira latar belakang.
"KPN menegaskan bahawa sebarang isu berkaitan pembinaan rumah ibadat hendaklah diselesaikan melalui dialog dan rundingan bersama semua pihak berkepentingan. Kementerian memberi ruang penuh kepada proses perbincangan dan rundingan yang konstruktif, dengan matlamat mencapai penyelesaian yang adil, harmoni dan berlandaskan undang-undang," katanya menerusi kenyataan pada Rabu.
Haniff dilapor mencadangkan penubuhan jawatankuasa berkenaan dengan memberi penekanan ia perlu bertanggungjawab menjalankan bancian lengkap untuk mengenal pasti semua rumah ibadat haram dan berurusan secara langsung dengan kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan (PBT).
Sementara itu, Aaron dalam masa sama turut menegaskan, isu pembinaan rumah ibadat mesti ditangani sepenuhnya mengikut peruntukan undang-undang sedia ada bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini.
Menurutnya, sebarang percubaan untuk mempolitikkan isu rumah ibadat adalah tidak wajar kerana ia melibatkan soal pematuhan undang-undang, prosedur rasmi dan keselamatan awam.