Peningkatan CPI 2025 cerminan pelbagai pihak baiki tadbir urus - Rasuah Busters

Iklan
Nurhayati dan laporan Sinar Harian mengenai kedudukan Malaysia dalam CPI 2025.

SHAH ALAM - Peningkatan kedudukan Malaysia di tangga ke-54 dunia dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) 2025 bukan sekadar angka sebaliknya cerminan terhadap kesungguhan pelbagai pihak dalam memperbaiki ekosistem tadbir urus dan integriti negara.

Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Sinar Untuk Malaysia–Rasuah Busters, Nurhayati Nordin berkata, pencapaian itu menunjukkan pelbagai inisiatif dan usaha reformasi yang digerakkan oleh kerajaan, agensi berkaitan serta masyarakat sivil mula menampakkan hasil yang baik.

Iklan
Iklan

Menurutnya, peningkatan yang memberangsangkan tersebut merupakan petanda positif terhadap usaha berterusan memerangi rasuah dan memperkukuh integriti negara.

“Ini satu perkembangan yang positif. Ia menunjukkan usaha dan inisiatif yang digerakkan oleh pelbagai pihak telah membawa Malaysia ke arah yang lebih baik.

Iklan

"Namun, yang lebih penting, bagaimana kita mengekalkan momentum ini supaya menjelang 2030, Malaysia mampu berada dalam kelompok 25 terbaik dunia atau lebih baik daripada itu,” katanya ketika ditemui selepas pengumuman CPI 2025 oleh Transparency International Malaysia (TI-M) pada Selasa.

Sebelum ini, TI-M mengumumkan kedudukan Malaysia dalam CPI 2025 menunjukkan peningkatan apabila berada di tangga ke-54 berbanding ke-57 pada tahun sebelumnya.

Iklan

Menurut Presiden TI-M, Raymon Ram, Malaysia mencatatkan skor 52 mata, meningkat daripada 50 mata bagi 2024 dan 2023.

Katanya, ia berdasarkan 13 kajian dan penilaian pakar yang mengukur persepsi tahap rasuah sektor awam di 182 negara serta wilayah di seluruh dunia.

Tambah Nurhayati, fokus utama selepas pengumuman keputusan CPI 2025 adalah menilai faktor-faktor yang menyumbang kepada peningkatan itu serta merancang langkah konsisten untuk terus memperbaiki kedudukan negara pada tahun-tahun akan datang.

“Persoalannya sekarang adalah sama ada kita mahu lonjakan konsisten dua mata setiap tahun, lebih daripada itu, atau kita sekadar kekal.

"Malah, kita juga perlu bersedia dengan kemungkinan penurunan jika usaha tidak diperkukuh. Inilah yang perlu diberi perhatian serius,” katanya.

Tambah beliau, ketelusan kepada publik merupakan antara faktor utama dalam memastikan keyakinan masyarakat dan pelabur antarabangsa terus meningkat terhadap komitmen Malaysia dalam memerangi rasuah.

Beliau turut menekankan pengumuman inisiatif atau penggubalan dasar sahaja tidak mencukupi tanpa pelaksanaan yang berkesan.

“Peningkatan itu ada, tetapi ia perlu lebih meyakinkan pada tahun-tahun mendatang. Persepsi responden CPI terhadap inisiatif reformasi diiktiraf, namun keyakinan tersebut perlu diperkukuh melalui pelaksanaan reform yang tegas dan konsisten.

“Pengumuman reform adalah langkah awal, tetapi pelaksanaannya adalah ujian sebenar. Di sinilah kita akan melihat sama ada negara benar-benar mampu keluar daripada belenggu ‘trust deficit’ yang menjejaskan kedudukan kita sebelum ini,” katanya.

Dalam masa sama, beliau menegaskan kepentingan memperkukuh kebebasan institusi serta mengelakkan persepsi pendakwaan terpilih, yang boleh menjejaskan keyakinan terhadap sistem keadilan negara.

Nurhayati turut mengingatkan bahawa Malaysia masih berdepan cabaran rasuah bersifat sistemik yang memerlukan pendekatan menyeluruh dan kerjasama semua pihak.

“Pemisahan kuasa antara pendakwa raya dan pihak eksekutif perlu menjadi agenda penting. Kita juga perlu melihat kepada kebebasan institusi seperti SPRM, pelaksanaan Akta Kebebasan Maklumat (FOI), kewujudan ombudsman serta ketelusan dalam perjanjian pendakwaan tertunda. Undang-undang bukan sahaja perlu wujud, tetapi mesti dilaksanakan secara efektif.

“Kita tidak boleh selesa dengan keadaan semasa. Rasuah sistemik boleh berkembang menjadi rasuah strategik jika tidak ditangani dengan tegas. Usaha memperbaiki kedudukan negara perlu dilakukan secara kolektif dengan penglibatan semua pihak berkepentingan,” katanya.

Nurhayati berkata, selain reform institusi dan perundangan, pengukuhan nilai dalaman dan pembudayaan integriti dalam kalangan rakyat juga amat penting bagi memastikan perubahan yang dicapai bersifat lestari.

“Bukan sekadar reform untuk memperbaiki kedudukan ranking, tetapi penghayatan nilai integriti dalam jiwa masyarakat perlu diperkukuh.

"Barulah Malaysia bukan sahaja dilihat bebas rasuah, tetapi benar-benar berintegriti dengan nilai moral dan karakter bangsa yang dihormati dunia,” katanya.