KUANTAN – Pembinaan Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) mencatat kemajuan keseluruhan 91.70 peratus setakat bulan lalu.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, tumpuan kini beralih kepada persiapan menyeluruh bagi fasa pengoperasian berikutan ketibaan dua set tren Electric Multiple Units (EMU) dan dua buah lokomotif elektrik (E-Loco) yang pertama.
Menurutnya, perkembangan itu menandakan satu pencapaian penting apabila projek mega rel negara itu memasuki fasa akhir sebelum operasi komersial yang disasarkan bermula Januari 2027.
“Ia selari dengan perancangan keseluruhan projek ECRL yang dijangka beroperasi mengikut jadual pada Januari 2027.
“Secara keseluruhannya, ECRL menggunakan 11 set tren EMU dan dua set pertama telah tiba di Malaysia. Kesemuanya akan menjalani ujian menyeluruh sebelum digunakan dalam operasi sebenar,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar sempena Majlis Pelancaran Khas Ketibaan Golden Tren EMU dan E-Loco Projek ECRL serta Penyerahan Surat Lantikan Penyedia Infrastruktur Rangkaian Mudah Alih Jajaran ECRL di Stesen Kotasas di sini pada Rabu.
Turut hadir, Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil; Ketua Setiausaha Negara merangkap Pengerusi Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL), Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar serta Duta Besar Republik Rakyat China ke Malaysia, Tuan Yang Terutama Ouyang Yujing.
Loke berkata, tren yang dikilangkan oleh CRRC Dalian di China dihantar ke negara ini selepas berjaya melalui ujian komprehensif serta ujian penerimaan kilang yang disahkan oleh MRL selaku pemilik Projek ECRL.
“Melalui tren yang diterima ini, kita akan memulakan fasa penting bagi ujian dan pentauliahan, manakala baki tren akan dihantar secara berperingkat tahun ini,” katanya.
Loke berkata, tumpuan kini beralih kepada persiapan menyeluruh bagi fasa pengoperasian.
Terdahulu dalam ucapannya, beliau berkata, pengoperasian komersial tren EMU dan E-Loco yang dijadualkan bermula awal 2027 bakal membuka lembaran baharu dalam memperkukuh ECRL sebagai mod pengangkutan hijau untuk penumpang dan kargo merentasi rangkaian rel elektrik sepanjang 665 kilometer melalui negeri Kelantan, Terengganu, Pahang dan Selangor.
Katanya, hasrat Kerajaan Persekutuan untuk mengintegrasikan Pantai Timur dan Pantai Barat secara lebih tersusun melalui ECRL diyakini akan meningkatkan mobiliti rakyat, mengurangkan masa perjalanan serta merapatkan jurang pembangunan antara wilayah.
“Warga Pantai Timur yang berada di Lembah Klang hanya perlu menunggu satu Syawal lagi untuk pulang menyambut Hari Raya Aidilfitri 2027 menaiki ECRL,” katanya.
Tambah beliau, bagi memastikan keselesaan dan produktiviti pengguna, penyediaan infrastruktur rangkaian mudah alih di sepanjang jajaran ECRL membolehkan semua operator mudah alih negara menyediakan perkhidmatan 4G dan 5G kepada penumpang ECRL.
“Hari ini telah diadakan penyerahan surat lantikan kepada Maxis Berhad sebagai penyedia infrastruktur rangkaian mudah alih jajaran ECRL,” katanya.