JPSM laksana Op Limau bendung pembalak, hasil hutan haram

Iklan
Zahari mengibarkan bendera Malaysia sebagai simbolik Flag-Off Operasi Bersepadu Penguatkuasaan Op Limau 2026 sempena musim perayaan Tahun Baharu Cina di Pekan pada Rabu.

PEKAN - Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM) melaksanakan Op Limau 2026 sebagai langkah membendung aktiviti pembalakan haram serta penyeludupan hasil hutan sepanjang musim perayaan.

Operasi bermula 11 hingga 27 Februari ini melibatkan kerjasama strategik antara JPSM dan jabatan perhutanan negeri melalui pelaksanaan rondaan bersepadu, pemantauan berterusan serta tindakan penguatkuasaan yang lebih menyeluruh dan sistematik di lapangan.

Iklan
Iklan

Ketua Pengarah JPSM, Datuk Zahari Ibrahim berkata, pelaksanaan operasi ini merupakan langkah proaktif susulan peningkatan permintaan terhadap hasil hutan, khususnya kayu balak dan produk berasaskan kayu yang lazimnya berlaku menjelang musim perayaan.

Menurutnya, ia berpotensi meningkatkan risiko pelanggaran undang-undang perhutanan.

Iklan

"Operasi ini bukan sahaja bertujuan memastikan aktiviti pengeluaran, pengangkutan dan perdagangan hasil hutan dilaksanakan secara sah dan mematuhi peraturan semasa, malah turut berperanan dalam membendung aktiviti pembalakan haram serta penyeludupan hasil hutan sepanjang musim perayaan.

"Pelaksanaan Ops Limau 2026 juga mencerminkan komitmen berterusan kerajaan khususnya JPSM dalam menyokong agenda Kerajaan Madani khususnya dalam memperkukuh tadbir urus, integriti serta pengurusan sumber asli secara mampan demi kepentingan generasi kini dan akan datang selain melindungi khazanah hutan negara yang bernilai tinggi," katanya dalam kenyataan.

Iklan

Beliau sebelum itu melancarkam Flag-Off Operasi Bersepadu Penguatkuasaan Op Limau 2026 JPSM dengan Jabatan Perhutanan Negeri sempena musim perayaan Tahun Baharu Cina di sini pada Rabu.

Tambah Zahari, melalui pendekatan operasi bersepadu ini, JPSM turut memperkukuh penyelarasan antara peringkat persekutuan dan negeri, di samping memperkasakan peranan penguatkuasaan sebagai tunjang utama dalam pemeliharaan dan kelestarian sumber hutan negara.

Tegasnya, pemeliharaan hutan bukan sahaja tanggungjawab kerajaan, malah memerlukan sokongan semua pihak termasuk pemain industri, komuniti setempat dan masyarakat umum.

"Dalam hal ini, orang ramai digalakkan untuk menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti mencurigakan melalui saluran rasmi JPSM bagi membantu usaha membanteras aktiviti haram," ujarnya.

Dalam perkembangan lain, JPSM merekodkan 304 kes berkaitan kesalahan hutan dengan 491 tangkapan membabitkan warga tempatan dan asing di Semenanjung Malaysia sepanjang tahun lalu.

Kata beliau, sebanyak 75 kes dikesan melalui aktiviti rondaan secara berjadual dengan kerjasama anggota Unit Penguatkuasa daerah dan negeri.

"Kita melakukan 491 tangkapan sepanjang tahun lalu membabitkan 447 warga tempatan dan 44 warga asing.

"Warga asing yang ditangkap membabitkan 13 warga Myanmar, Indonesia (11), Bangladesh (6), Vietnam (3), China (3), Kemboja (2), Kenya (2) dan Pakistan (2)," ujarnya.

Tegasnya, kesemua tangkapan telah diambil tindakan di bawah akta dan perundangan jabatan ini.