'Miera Martoza' kekal pengakuan tidak bersalah, mohon bicara

Iklan
Tertuduh (kanan) ketika dihadapkan di Mahkamah Tinggi Syariah Terengganu di Kuala Terengganu pada Selasa atas dakwaan berpakaian dan berlagak seperti wanita di sebuah pusat beli-belah, pada Mei tahun lalu.

KUALA TERENGGANU – Lelaki yang sebelum ini didakwa di Mahkamah Tinggi Syariah Terengganu di sini atas pertuduhan berpakaian dan berlagak seperti wanita di sebuah pusat beli-belah, kekal dengan pengakuan tidak bersalah dan memohon untuk dibicarakan.

Tertuduh, Mohd Lukman Mohamad Aluddin, 33, yang juga dikenali sebagai 'Miera Martoza', membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan ke atasnya dibacakan di hadapan Hakim Syarie, Hamidi Shafie pada Selasa.

Iklan
Iklan

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan kesalahan kali kedua dengan memakai pakaian wanita dan berlagak seperti wanita di Tingkat 3, KTCC Mall, Jalan Sultan Zainal Abidin, di sini kira-kira jam 4 petang pada 12 Mei 2025.

Susulan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 33 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) Terengganu 2001 dan boleh dihukum di bawah seksyen yang sama.

Iklan

Jika sabit kesalahan, tertuduh berdepan hukuman sebatan tidak melebihi enam sebatan atau penjara selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya, serta boleh dikenakan denda tidak melebihi RM5,000.

Mahkamah bagaimanapun melepaskan tertuduh menggunakan jaminan sebanyak RM3,000 sebelum ini dan menetapkan 17 Mei depan sebagai tarikh perbicaraan kes.

Iklan

Pendakwaan dikendalikan oleh Pendakwa Syarie Jabatan Pendakwaan Syariah Terengganu, Nurul Taqwa Hasbu, manakala tertuduh diwakili firma guaman Muhammad Syarafi & Partners menerusi peguam, Siti Nur Adibah Pakurazzi.

Sementara itu, peguam tertuduh berkata, pihaknya kini masih menunggu dokumen-dokumen perbicaraan selepas mengemukakan permohonan bagi mendapatkan dokumen tersebut.

Menurutnya, sebutan semula kes itu pada Selasa bagi mendapatkan pengakuan anak guamnya sekali lagi dan masih mengekalkan pengakuan tidak bersalah.

"Pihak pembelaan telah memohon kepada pihak pendakwaan untuk membekalkan dokumen-dokumen perbicaraan dan ia akan diserahkan sebelum tarikh akan datang.

"Kami akan meneliti dokumen tersebut bagi melihat sama ada terdapat sebarang kecacatan pada pertuduhan selain mengenal pasti saksi-saksi yang akan dipanggil,"katanya.

Pada 14 Januari lalu, tertuduh membuat pengakuan tidak bersalah selepas dihadapkan di mahkamah sama bagi pertuduhan tersebut.