Dua kanak-kanak perempuan hilang ditemui selamat di tangga pangsapuri

Iklan
Kanak-kanak yang dikenali sebagai Husna dan Tulin itu ditemui dalam keadaan selamat di tangga yang menghala ke bumbung pangsapuri.

KAJANG – [KEMAS KINI] Misteri kehilangan dua kanak-kanak perempuan dipercayai warga asing terungkai apabila kedua-duanya ditemukan selamat di tangga yang menghala ke bumbung Apartment Saville Kajang di sini pada Selasa.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, pihaknya menerima laporan kehilangan dua kanak-kanak perempuan berusia bawah tiga tahun itu pada jam 1.46 pagi.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, kejadian dipercayai berlaku kira-kira jam 11.30 malam di Apartment Saville Kajang, Jalan Reko di sini.

“Sejurus menerima laporan, Polis Daerah Kajang menjalankan tindakan mencari dan mengesan dengan segera termasuk membuat semakan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di sekitar kawasan kejadian.

Iklan

“Hasil usaha itu, kedua-dua kanak-kanak berkenaan berjaya ditemui pada jam 10 pagi di tangga yang menghala ke bumbung (rooftop) apartmen berkenaan,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Beliau berkata, kanak-kanak terbabit ditemui oleh pasukan Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang.

Iklan

Menurutnya, pemeriksaan awal mendapati kedua-dua mangsa berada dalam keadaan baik dan tidak mengalami sebarang kecederaan fizikal.

“Kedua-dua kanak-kanak itu dihantar ke Hospital Kajang bagi tujuan pemeriksaan lanjut sebagai langkah berjaga-jaga,” katanya.

Naazron berkata, siasatan lanjut turut dijalankan bagi mengenal pasti sekiranya terdapat unsur pengabaian dalam kejadian tersebut.

Dalam pada itu, beliau menasihatkan orang ramai, khususnya ibu bapa dan penjaga, supaya sentiasa memantau pergerakan kanak-kanak di bawah jagaan masing-masing.

Tegasnya, kanak-kanak tidak boleh dibiarkan bersendirian tanpa pengawasan dan sekiranya berlaku kecemasan, segera hubungi pihak polis atau talian kecemasan MERS 999 untuk mendapatkan bantuan.