Azam Baki didakwa miliki saham bernilai hampir RM800,000

Iklan
AZAM BAKI

SHAH ALAM - Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki dilapor memegang jutaan saham dalam sebuah syarikat perkhidmatan kewangan berdasarkan pemfailan korporat.

Ia sekali gus pendedahan awam pertama mengenai pegangan saham besar atas namanya sejak kontroversi beberapa tahun lalu berhubung pegangan sahamnya yang mencetuskan protes menuntut beliau meletakkan jawatan.

Iklan
Iklan

Menurut laporan Bloomberg, Azam, 62, dikatakan memiliki 17.7 juta saham Velocity Capital Partner Bhd, sebuah syarikat perkhidmatan kewangan tersenarai di Bursa Malaysia berdasarkan pemfailan tahunan oleh Velocity Capital kepada kepada Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) pada 3 Februari tahun lalu.

Nilai pegangan tersebut dianggarkan bernilai hampir RM800,000 setakat penutupan dagangan pada Isnin.

Iklan

Lapor Bloomberg lagi, sehingga Selasa nama Azam masih tersenarai dalam daftar pemegang saham Velocity Capital di SSM yang boleh diakses melalui pangkalan data berbayar dan dikemas kini secara berkala.

Bagaimanapun tidak dapat dipastikan bila saham tersebut diperolehi dan Velocity Capital dilaporkan masih belum mengemukakan pemfailan sama yang dikenali sebagai penyata tahunan, untuk tahun ini.

Iklan

Sumber berita antarabangsa itu turut menyatakan, Azam dan SPRM tidak memberikan sebarang komen ketika diminta mengulas mengenai pegangan saham tersebut manakala Velocity Capital juga tidak membalas permintaan untuk komen.

Dalam pada itu, pekeliling kerajaan Malaysia 2024, yang memberikan panduan mengenai peraturan 1993 berkaitan tatakelakuan pegawai awam, menyatakan bahawa seorang penjawat awam dibenarkan membeli saham dalam syarikat yang diperbadankan di Malaysia dengan syarat pegangan tersebut tidak melebihi lima peratus daripada modal berbayar atau bernilai RM100,000, yang mana lebih rendah.

Mereka juga diwajibkan mengisytiharkan aset sekurang-kurangnya sekali setiap lima tahun serta pada masa pembelian dan penjualan pegangan saham.

Tiada laporan awam yang ketara mengenai penjawat awam dikenakan tindakan tatatertib kerana pegangan saham mereka. Transparency International dan kumpulan advokasi anti-rasuah lain telah lama mendesak kerajaan Malaysia supaya mewajibkan penjawat awam mengisytiharkan aset mereka secara terbuka.

Azam, yang dianggap sebagai pegawai awam di bawah undang-undang yang mengawal SPRM, masih belum mengisytiharkan asetnya secara terbuka.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah melanjutkan kontrak Azam selama setahun sebanyak tiga kali melepasi usia persaraan wajib bagi pegawai awam.

Anwar mempertahankan keputusannya, dengan berkata Azam telah menunjukkan 'keberanian luar biasa' dalam menyiasat tokoh-tokoh berkuasa yang didakwa terlibat dalam rasuah dan penyalahgunaan kuasa. Kontrak Azam yang sedia ada dijangka berakhir pada Mei ini.

Pejabat Perdana Menteri tidak memberikan sebarang respons apabila diminta untuk mengulas.

Terdahulu, Azam menghadapi kecaman awam selepas seorang wartawan melaporkan pada penghujung 2021 mengenai pegangan sahamnya dan mempertikaikan sama ada ia melanggar peraturan bagi pegawai awam mengenai pemilikan dan pengisytiharan aset.

Pada Januari 2022, penunjuk perasaan berhimpun di Kuala Lumpur menuntut beliau meletakkan jawatan dan ditangkap.

Pada ketika itu, Azam berkata, salah seorang adiknya telah menggunakan akaun dagangnya untuk membeli saham.

Suruhanjaya Sekuriti Malaysia telah menyiasat dan memutuskan bahawa Azam tidak melanggar undang-undang sekuriti, dengan menyatakan bahawa tiada bukti muktamad menunjukkan sesiapa pun telah menggunakan akaunnya. Tiada tindakan tatatertib lain yang didedahkan.

Azam kemudian menyaman Lalitha Kunaratnam, wartawan yang menulis laporan tersebut pada 2021, atas fitnah, menuntut ganti rugi sebanyak RM10 juta.

Kes itu diselesaikan pada 2024 dengan terma yang tidak didedahkan, tanpa mana-mana pihak mengaku bersalah. Lalitha enggan mengulas.

Velocity Capital menyatakan di laman webnya bahawa syarikat itu sedang beralih daripada perniagaan teras sebelumnya dalam pengangkutan, logistik dan seramik untuk memberi tumpuan kepada industri perkhidmatan kewangan, khususnya dalam pemberian pinjaman.

Sahamnya, yang telah jatuh 50 peratus sejak paras tertinggi Mac tahun lalu, diniagakan pada harga RM0.045 setiap satu pada penutupan hari Isnin. - Bloomberg.