Peniaga kantin, penyelia tapak didakwa angkut 16 migran

Iklan
Kedua-dua tertuduh diiringi anggota polis untuk didakwa di Mahkamah Sesyen Alor Setar pada Selasa.

ALOR SETAR – Dua lelaki dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini pada Selasa atas pertuduhan mengangkut 16 migran yang diseludup menggunakan dua kenderaan berasingan di Plaza Tol Jitra arah Selatan, bulan lalu.

Tertuduh, K. Karupaya, yang merupakan seorang peniaga kantin, dan P. Thinagaran, 43, bekerja sebagai penyelia tapak, mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan dalam bahasa Tamil di hadapan Hakim Sharmila Abdul Samad.

Iklan
Iklan

Walau bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan kerana kes berkenaan berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Berdasarkan pertuduhan, Karupaya didakwa mengangkut 11 migran menggunakan kenderaan Hyundai Starex berwarna putih di Plaza Tol Jitra arah Selatan kira-kira jam 4 pagi pada 14 Januari lalu.

Iklan

Thinagaran pula didakwa mengangkut lima migran menggunakan Perodua Aruz berwarna kelabu di lokasi, tarikh dan waktu yang sama.

Kedua-dua tertuduh didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 26J Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007 (Akta 670) yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun dan denda maksimum RM250,000 atau kedua-duanya sekali.

Iklan

Timbalan Pendakwa Raya, Nasruna Anhar Nordien, mengendalikan prosiding, manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.

Tiada jaminan ditawarkan kepada kedua-dua tertuduh dan mahkamah menetapkan kes disebut semula pada 13 April depan untuk dipindahkan ke Mahkamah Tinggi.