Pemandu teksi maut, empat cedera nahas tiga kenderaan

Iklan
Keadaan kenderaan yang dipandu mangsa selepas terlibat kemalangan di Kilometer 143, Jalan Kuantan-Segamat pada malam Khamis. Foto Polis Rompin

ROMPIN - Seorang pemandu teksi warga emas maut manakala empat individu lain cedera dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Kilometer 143, Jalan Kuantan–Segamat, berhampiran Jambatan Timbang Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) di sini, malam Khamis.

Dalam kejadian kira-kira jam 11.20 malam itu, mangsa, Abdul Rahman Yusoff, 60, dari Kota Bharu, Kelantan, disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Muadzam Shah akibat kecederaan parah di bahagian kepala.

Iklan
Iklan

Ketua Polis Daerah Rompin, Superintendan Sharif Shai Sharif Mondoi berkata, siasatan awal mendapati kemalangan itu membabitkan sebuah Toyota Vios yang dipandu lelaki berusia 26 tahun, Proton Wira dipandu lelaki berumur 56 tahun dan Perodua Alza yang dipandu mangsa.

“Pemandu Toyota Vios dipercayai dalam perjalanan dari Segamat menghala ke Kuantan, manakala Proton Wira serta Perodua Alza dari arah Kuantan menuju ke Segamat.

Iklan

“Apabila tiba di lokasi kejadian, pemandu Toyota Vios dipercayai hilang kawalan sebelum memasuki laluan bertentangan dan melanggar dua kenderaan terbabit,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Lokasi kemalangan yang menyebabkan seorang maut dan empat cedera di Kilometer 143, Jalan Kuantan-Segamat. Foto Polis Rompin

Iklan

Menurutnya, nahas itu turut menyebabkan isteri mangsa, Rohani Mohd Yussof, 58, mengalami patah paha dan lutut kanan, manakala cucu mereka, Nur Intan Suhaila Abdullah, 14, mengalami patah bahu kanan.

Beliau berkata, seorang lagi penumpang Perodua Alza yang juga anak mangsa, Mohamad Shahrul Abdul Rahman, 20, yang merupakan pelajar Universiti Tun Abdul Razak (Unitar), hanya mengalami kecederaan ringan di bahagian tangan dan muka.

“Pemandu Toyota Vios dilaporkan mengalami patah paha kanan, manakala pemandu Proton Wira tidak mengalami sebarang kecederaan.

"Kesemua mangsa yang cedera parah telah dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), Kuantan, untuk rawatan lanjut," katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian tampil membantu siasatan dengan menghubungi mana-mana balai polis berhampiran.