KOTA BHARU - Penganjur Makar Fest XL memohon maaf secara terbuka berhubung isu yang tular di media sosial mengenai persembahan dan tarian penonton semasa konsert yang diadakan di Tunjung di sini pada Sabtu lalu.
Pengarah program, Issey Fazlisham berkata, penganjuran yang berlangsung selama tiga hari itu dilaksanakan mengikut garis panduan dan enakmen hiburan yang dikeluarkan oleh Majlis Perbandaran Kota Bharu-Bandaraya Islam (MPKB-BRI).
Menurutnya, sebelum acara pentas bermula, pihaknya telah menayangkan video mengenai etika panggung sepanjang program itu berlangsung.
"Ia bagi memberi peringatan kepada pengunjung yang hadir mengenai apa yang boleh dan apa tidak boleh dilakukan semasa menonton acara pentas.
"Contohnya pengasingan antara lelaki dan perempuan, tidak boleh buang sampah, tidak boleh berjoget, harus tertib dan juga beradab.
"Saya sebagai pengacara dan setiap kali naik pentas, saya akan ingatkan kepada semua penonton supaya tidak berjoget, menjaga adab dan tertib sepanjang acara berlangsung," katanya menerusi rakaman video yang dimuat naik di TikTok.
Ujar beliau, walau bagaimanapun terdapat segelintir individu berada di luar kawalan pihak penganjur dan didapati melakukan pergerakan yang tidak mematuhi garis panduan yang ditetapkan.
Bagaimanapun katanya, pihak kru keselamatan dan pasukan Makar Fest XL bertindak segera sebaik saja situasi tersebut dikesan.
"Untuk makluman semua jumlah kehadiran penonton pada malam itu melebihi jangkaan pihak penganjur dan sekali gus bila orang terlalu ramai, kawalan lebih mencabar di beberapa kawasan tertentu.
"Depan sampai belakang kami ada buat pengasingan apabila semua dah penuh belakang ini kami tidak dapat kawal, namun pasukan kami cepat bertindak dan penganjur sentiasa komited serta mengambil tindakan pantas bagi memastikan pematuhan peraturan sentiasa terjamin, namun ada juga di luar kawalan.
"Justeru, kami mohon maaf pada semua pihak dan sentiasa terbuka untuk menerima penambahbaikan bagi penganjuran lain yang akan datang," katanya.
Beliau memberitahu, Makar Fest XL itu adalah yang kelima dianjurkan pihaknya.
Sinar Harian pada Selasa melaporkan penganjur Makar Fest XL dikenakan tindakan tegas apabila wang cagaran berjumlah RM8,000 dirampas susulan pelanggaran syarat hiburan membabitkan percampuran bebas lelaki dan perempuan serta aksi menari dan melompat-lompat penonton pada konsert penutup festival makanan itu di Tunjong.
Selain rampasan cagaran, penganjur turut berdepan penalti maksimum sehingga RM30,000 serta berisiko disenarai hitam sekiranya gagal menjelaskan kompaun yang dikenakan.