Langgar syarat hiburan, penganjur Makar Fest XL berdepan penalti RM30,000

Iklan
Pelanggaran serius berlaku semasa persembahan pada konsert penutup apabila sekumpulan penonton didapati menari dan melompat-lompat selain berlaku percampuran bebas antara lelaki dan wanita.

KOTA BHARU - Penganjur Makar Fest XL dikenakan tindakan tegas apabila wang cagaran berjumlah RM8,000 dirampas susulan pelanggaran syarat hiburan membabitkan percampuran bebas lelaki dan perempuan serta aksi menari dan melompat-lompat penonton pada konsert penutup festival makanan itu di Tunjongdi sini, Sabtu lalu.

Selain rampasan cagaran, penganjur turut berdepan penalti maksimum sehingga RM30,000 serta berisiko disenarai hitam sekiranya gagal menjelaskan kompaun yang dikenakan.

Iklan
Iklan

Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar Kelantan, Hilmi Abdullah berkata, keputusan itu dibuat selepas pihak berkuasa meneliti laporan penguat kuasa serta video berdurasi kira-kira 40 saat yang tular di media sosial.

Menurutnya, program berbentuk ekspo jualan dan makanan selama tiga hari bermula 29 hingga 31 Januari lalu di tapak parkir Pasaraya Mydin Tunjung itu mendapat kelulusan hiburan daripada Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam (MPKB-BRI) di bawah Enakmen Kawalan Hiburan dan Tempat-Tempat Hiburan (Kelantan) 2025.

Iklan

"Bagaimanapun kelulusan tersebut tertakluk kepada pematuhan sepenuhnya terhadap Garis Panduan Hiburan dan Sukan Negeri Kelantan 2025 sepanjang tempoh penganjuran," katanya dalam satu kenyataan media pada Selasa.

Menurut Hilmi, pemantauan mendapati semua artis jemputan termasuk Sabri Yunus, Wan Hanafi Su, Zack Budak Kacamata, Budak Nakal Hujung Simpang, Wargaswara serta artis dikir berjaya mematuhi garis panduan ditetapkan.

Iklan

“Bagaimanapun, pelanggaran serius berlaku semasa persembahan Kugiran Masdo pada konsert penutup sekitar jam 10.30 malam, apabila sekumpulan penonton didapati menari dan melompat-lompat selain berlaku percampuran bebas antara lelaki dan wanita,” katanya.

Beliau berkata, walaupun penguat kuasa mengeluarkan beberapa individu yang mencetuskan provokasi serta kumpulan penonton yang melanggar garis panduan, situasi gagal dikawal dan insiden sama berulang.

“Penganjur didapati cuai, gagal atau enggan menghentikan persembahan bagi mengawal situasi.

“Turut dikesan ialah kegagalan menyediakan petugas keselamatan mencukupi seperti yang disyaratkan, sekali gus membenarkan percampuran lelaki dan wanita berlaku tanpa kawalan,” katanya.

Susulan itu, Pegawai Pelesen mendapati penganjur melakukan kesalahan di bawah Seksyen 13(1) Enakmen Kawalan Hiburan dan Tempat-Tempat Hiburan (Kelantan) 2025, selain gagal mematuhi syarat lesen dan garis panduan hiburan negeri.

Hilmi menegaskan, kerajaan negeri tidak menolak keperluan rakyat untuk berhibur dan menyokong penganjuran festival makanan sebagai medium menjana pendapatan peniaga kecil serta mempromosikan pelancongan negeri.

Namun katanya, aspek adab, budaya dan akhlak, khususnya melibatkan generasi muda tidak boleh dikompromi.

“Kerajaan Kelantan akan terus menyokong penganjuran festival makanan pada masa hadapan selagi penganjur mematuhi peraturan serta garis panduan hiburan yang telah ditetapkan oleh pihak berkuasa tempatan di seluruh Kelantan,” katanya.