KELANTAN - Seorang kanak-kanak perempuan yang sebelum ini tercicir daripada persekolahan akibat kekangan kewangan akhirnya kembali menyambung pelajarannya pada Khamis lalu.
Kisah Siti Ariesya Damia Abdullah yang kini berusia lapan tahun itu dikongsikan Pengarah Urusan Azlan Al Amin Group Holdings Sdn Bhd, Datuk Mohamad Azlan Abdullah @ Ali atau lebih dikenali Datuk Azlan Al Amin yang tampil membantunya sekali gus memberikan sinar baharu kanak-kanak tersebut.
Mohamad Azlan menjelaskan, Siti Ariesya Damia atau Mia dari Kampung Geting, Tumpat sudah tercicir pendidikan darjah satu kerana situasi keluarga dan juga disebabkan kemiskinan.
"Saya telah ke Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Tumpat untuk menguruskan seorang anak kecil dari keluarga miskin yang tercicir persekolahan.
"Mia tinggal bersama ibunya Siti Sufia Laila dengan dua adiknya yang berusia empat dan 10 bulan di rumah Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) atau kini Program Perumahan Rakyat Sejahtera (PPRS)
"Mereka tinggal di situ selepas ibunya bercerai dengan bapanya. Rumah berkenaan pula merupakan peninggalan arwah datuk dan neneknya," katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.
Katanya, sebaik mengetahui keadaan Mia, tindakan lanjut telah dilakukan dengan menguruskan pendaftaran sekolah kanak-kanak itu di PPD Tumpat.
"Kanak-kanak lain yang seusianya sudah dua minggu memasuki alam persekolahan dan Alhamdulillah urusan berjaya diselesaikan dengan kerjasama penuh daripada pihak PPD.
"Kelengkapan sekolah dan yuran persekolahannya juga telah diselesaikan, Mia kini sudah meneruskan persekolahannya dalam darjah dua di Sekolah Kebangsaan Genting, Tumpat, Kelantan," katanya yang akan terus membantu keluarga berkenaan sebaik mungkin.
Beliau menambah, ibu Mia yang sebelum ini seorang suri rumah, juga telah dibantu bagi menjana pendapatannya dengan memulakan projek ternakan puyuh dan ayam telur.