KOTA BHARU – Selepas sedekad, acara ikonik Walkathon D’Raja, Walk With Me kembali mewarnai negeri ini dengan kehadiran Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V bersama Sultanah Kelantan, Sultanah Nur Diana Petra Abdullah, yang bakal mencemar duli berjalan kaki bersama rakyat pada 14 Februari ini.
Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan, Datuk Dr Tengku Mohamed Faziharudean Tengku Feissal berkata, acara kemuncak edisi keenam itu akan bermula di Stadium Sultan Muhammad IV pada jam 7.30 malam dan dijangka menarik lebih 15,000 penyertaan.
“Program Walkathon D’Raja, Walk With Me dianjurkan bagi menghidupkan semula acara kebersamaan sultan dan rakyat selepas kali terakhir diadakan pada 2016.
“Program ini merupakan cetusan idea Sultan Muhammad V sendiri dengan matlamat untuk merapatkan hubungan baginda dengan rakyat di samping memupuk gaya hidup sihat serta memperkukuh silaturahim masyarakat Kelantan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar di Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan, Kompleks Darul Naim di sini pada Selasa.
Tengku Mohamed Faziharudean berkata, program itu membawa tema istimewa 'In The Memory of Dato’ KY' sebagai penghormatan mengenang jasa Allahyarham Datuk Tengku Ibrahim Farihaddin Tengku Feissal, bekas Bendahari Pertubuhan Kerabat D’Raja Kelantan Al-Muhammadi, yang banyak menyumbang tenaga sejak program tersebut diperkenalkan pada 2011.
Katanya, program itu dianjurkan oleh Pertubuhan Kerabat D’Raja Kelantan Al-Muhammadi dengan kerjasama Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan, dan pendaftaran penyertaan dibuat secara dalam talian menerusi https://walkwithme.my.
Selain acara kemuncak walkathon sejauh 3.2 kilometer, pelbagai pengisian menarik turut disusun menerusi Karnival Walkathon D’Raja yang akan berlangsung selama tiga hari bermula 12 Februari ini.
“Antara aktiviti yang dirancang termasuk festival makanan, pameran agensi kerajaan dan swasta, pertunjukan gajah, serta pengisian keagamaan seperti tahlil dan ceramah.
“Selain itu, aktiviti kebudayaan dan sukan turut diadakan, melibatkan senamrobik, pertandingan memasak, mewarna kanak-kanak serta pertunjukan teh tarik,” katanya.
Acara kemuncak perasmian oleh Sultan Muhammad V pada malam 14 Februari itu turut akan diserikan dengan pertunjukan 350 dron bercahaya yang dijangka menjadi tarikan utama pengunjung.
“Yuran penyertaan ditetapkan sebanyak RM45 bagi individu, badan kerajaan dan swasta, manakala RM30 bagi pelajar.
“Setiap peserta berdaftar akan menerima baju rasmi program untuk dipakai semasa acara berjalan kaki selain sijil penyertaan,” katanya.
Tambah beliau, program Walkathon D’Raja sebelum ini pernah mencatat sejarah dalam Malaysia Book of Records sebagai penyertaan walkathon diraja terbesar pada 2011 dengan penglibatan lebih 30,000 individu.