KOTA BHARU – Beberapa laluan utama yang dikenal pasti sebagai kawasan berisiko tinggi kemalangan, termasuk Jalan Raya Timur-Barat Gerik–Jeli dan laluan Lojing–Gua Musang, akan dipasang lampu jalan bagi meningkatkan tahap keselamatan pengguna pada waktu malam.
Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Negeri Kelantan, Nik Badlihisham Nik Ismail, berkata pemasangan lampu jalan itu dilaksanakan susulan keadaan jalan yang gelap, berselekoh serta kerap berlaku kemalangan, terutama berhampiran kawasan sekolah dan penempatan penduduk.
Menurutnya, antara lokasi terlibat termasuk laluan FT004 Jalan Raya Timur-Barat Gerik–Jeli dan FT066 Kampung Sungai Sam–Jeli, FT008 Kota Bharu–Gua Musang serta FT185 Lojing–Gua Musang, selain beberapa laluan lain di Tanah Merah dan Tumpat.
“Projek pemasangan lampu jalan ini bertujuan meningkatkan tahap keselamatan dan keselesaan pengguna jalan raya.
“Laluan-laluan ini dikenal pasti sebagai kawasan berisiko kemalangan berdasarkan input daripada Polis Diraja Malaysia, jurutera jajahan serta penilaian teknikal JKR sendiri,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media sempena Majlis Cabutan Kerja Undi JKR Cawangan Kejuruteraan Elektrik Negeri Kelantan Bilangan 1/2026 di Dewan Besar Yayasan Islam Kelantan, Tunjong, di sini, pada Selasa.
Nik Badlihisham berkata, bagi tahun ini, JKR Cawangan Kejuruteraan Elektrik Negeri Kelantan menerima peruntukan keseluruhan berjumlah RM6.62 juta bagi penyelenggaraan lampu jalan dan lampu isyarat di seluruh negeri.
Daripada jumlah itu, katanya, RM4 juta diperuntukkan untuk penyelenggaraan lampu jalan dan lampu isyarat, manakala RM2.62 juta bagi pemasangan lampu jalan di kawasan kemalangan serta kawasan berisiko akibat keadaan jalan gelap.
“Sebanyak 63 senarai kerja ditawarkan melalui cabutan undi kali ini melibatkan kerja penggantian lampu LED, penyelenggaraan lampu jalan serta lampu isyarat dengan nilai projek antara RM50,000 hingga RM200,000 mengikut lokasi dan skop kerja,” katanya.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan seramai 189 kontraktor elektrik dari seluruh Kelantan mendaftar untuk menyertai cabutan kerja undi berkenaan, namun 12 kontraktor terpaksa ditolak kerana tidak memenuhi syarat kelayakan, termasuk tiada pengkhususan bidang kerja dan kegagalan mematuhi Sijil Pematuhan Cukai atau Tax Compliance Certificate (TCC).
“Selepas tapisan dibuat, seramai 177 kontraktor disahkan layak menyertai cabutan kerja undi ini.
“Aspek pematuhan cukai sangat penting dan perlu diberi perhatian oleh kontraktor supaya tidak menjejaskan peluang mereka pada masa akan datang,” katanya.