KETEGANGAN Amerika Syarikat (AS) dan Iran kian memuncak hingga mencetuskan kebimbangan kepada terhadap kemungkinan tercetus peperangan lebih meluas serta sukar dikawal.
Sejak awal Januari, komuniti antarabangsa menyaksikan dua konflik besar ‘didalangi’ pentadbiran Presiden Donald Trump yang bermula di Venezuela sebelum tumpuan beralih ke Iran.
Pada masa sama, AS bersama sekutu rapatnya, Israel terus meningkatkan tekanan melalui strategi perang hibrid ke atas Teheran yang berpotensi mencetuskan konflik serantau.
Bagi mengekang kecenderungan Trump untuk melancarkan tindakan ketenteraan, sekutu Washington khususnya negara-negara Teluk giat menggerakkan usaha diplomatik bagi memujuk pemimpin Republikan itu agar tidak memilih jalan peperangan terhadap Iran yang berikrar akan bertindak balas lebih agresif berbanding ketika perang selama 12 hari pada Jun 2025 jika diserang seterunya.
Konflik bersama Teheran mempunyai sejarah yang lebih panjang berbanding kempen pencerobohan di Venezuela. Campur tangan pertama AS di negara itu bermula pada 1953 apabila Perdana Menteri Iran yang dipilih secara demokratik, Mohammad Mossadegh mengambil langkah menasionalisasikan industri minyak Iran sebagai tindakan menentang Syarikat Minyak British-Parsi (kini dikenali sebagai BP).
Ketika itu, Agensi Perisikan Pusat (CIA) bersama Perkhidmatan Rahsia Britain (M16) melancarkan Operasi Ajax untuk menggulingkan Mossadegh melalui gabungan propaganda, keganasan jalanan dan campur tangan politik.
Mereka mengembalikan kuasa kepada Mohammed Reza Pahlavi yang melarikan diri kerana bimbang dengan pengaruh Mossadegh.
Intervensi AS secara berlebihan bagaimanapun telah mencetuskan Revolusi Islam yang akhirnya membawa kepada pemerintahan teokratik apabila Pemimpin Agung, Ayatollah Ruhollah Khomeini mengambil alih tampuk kepimpinan pada 1979.
Sejak lebih empat dekad lalu, Washington berterusan menekan dan menggugat Iran serta mencari pelbagai alasan untuk menggulingkan pemerintah seperti yang dirancang terhadap Ayatollah Ali Khamenei ketika ini.
Antara tindakan hibrid yang dilakukan AS termasuk membiayai Iraq untuk melancarkan peperangan terhadap Iran pada 1980-an, namun ia gagal menumbangkan kepimpinan agama yang menerajui negara itu.
Matlamat sebenar Washington dan Tel Aviv adalah untuk memastikan Teheran terus tertekan dari segi ekonomi, terpinggir secara diplomatik dan berada di bawah tekanan antarabangsa yang berpanjangan.
Trump berulang kali bermain tarik tali untuk melemahkan proses rundingan yang berpotensi membawa kepada keamanan.
Ia bermula dengan keputusannya menarik diri daripada Pelan Tindakan Komprehensif Bersama (JCPOA) pada 2016, satu perjanjian yang sebelum ini mengawasi program nuklear Iran dan menyaksikan penarikan balik sekatan ekonomi terhadap Teheran.
Pendekatan perang hibrid meliputi tekanan ekonomi, sekatan, sabotaj, operasi siber, propaganda dan perang maklumat turut menjelaskan mengapa retorik Trump sering berubah secara mendadak, bersilih antara ancaman peperangan dan tawaran damai yang bersifat olok-olok.
Satu pihak yang mendapat keuntungan daripada perang hibrid ialah industri ketenteraan dan teknologi di AS serta Israel.
Pada 1961, Presiden ke-34 AS, Dwight D Eisenhower pernah memberi peringatan tentang 'bahaya' kompleks industri ketenteraan terhadap masyarakat.
Amaran itu kini menjadi kenyataan, lebih-lebih lagi dengan kewujudan teknologi kecerdasan buatan (AI), perang propaganda dan dasar luar AS yang semberono.
Pensyarah bersekutu di Jabatan Politik University of York, Christopher Featherstone berpendapat Iran telah sekian lama menjadi ‘sasaran utama’ politik antarabangsa lebih empat dekad lalu.
Menurutnya, Washington kemudiannya menetapkan Teheran yang berpengaruh besar di Asia Barat sebagai ‘musuh pilihan’ untuk mempamerkan kekuatan mereka di rantau tersebut.
7 senario jika Washington serang Teheran
1. Serangan terhad & tepat sasaran
AS hanya sasarkan fasiliti ketenteraan/nuklear tertentu. Kerosakan terkawal, korban awam rendah dan mungkin membuka ruang perubahan politik dalaman.
2. Pemerintah kekal berkuasa tetapi dasar lebih sederhana
Kerajaan Iran masih memerintah, tetapi kurangkan program nuklear, sokongan kepada kumpulan proksi dan tekanan terhadap rakyat.
3. IRGC ambil alih
Jika pemerintah digulingkan, kemungkinan kerajaan akan diambil alih oleh Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC) yang digeruni AS.
4. Serangan balas sasar pangkalan AS & sekutunya
Iran mungkin menggunakan kekuatan maksimum dengan melancarkan peluru berpandu, dron atau menggerakkan proksi mereka untuk menyerang pangkalan AS di Asia Barat.
5. Gangguan laluan minyak & perkapalan
Iran boleh sekat Selat Hormuz, ganggu eksport minyak dunia berisiko menyebabkan lonjakan harga minyak, sekali gus menjejaskan ekonomi global.
6. Serangan berkelompok
Iran berupaya menenggelamkan armada kapal perang AS menggunakan dron berpeledak tinggi dan bot torpedo laju. Sistem pertahanan dekat (close-in) Tentera Laut AS yang canggih dikatakan tidak dapat menangkis serangan sedemikian.
7. Kekacauan dalaman atau perang saudara meletus
Jika pemerintah teokratik runtuh tanpa pengganti stabil, ia bakal mencetuskan konflik etnik, pergolakan dalaman dan ketidakstabilan jangka panjang yang paling dikhuatiri Qatar serta Arab Saudi.