BANGKOK - Sebuah pesawat terpaksa mendarat cemas kerana gangguan seorang penumpang yang berbogel secara tiba-tiba.
Kejadian itu berlaku ketika penerbangan AirAsia tersebut dalam perjalanan dari Nha Trang, Vietnam ke Bangkok, Thailand pada Jumaat lalu.
Beberapa rangkaian media melaporkan lelaki bertutur dalam bahasa Rusia mula berkelakuan pelik tidak lama selepas pesawat berlepas.
Dia disyaki mabuk selepas turut mencabar beberapa kru kabin untuk bertumbuk.
"Dia ke tandas beberapa kali dan kelihatan gelisah. Beberapa penumpang lain cuba menenangkannya, namun dia berkeras mahu keluar dari pesawat.
"Lelaki itu kemudiannya menanggalkan pakaiannya dan berlari dalam pesawat sambil berteriak mahu keluar," lapor media.
Rakaman yang menjadi tular di platform X menunjukkan lelaki itu hanya berseluar dalam ketika cuba membuka pintu pesawat.
"Dia mengugut mahu terjun dari pesawat jika kehendaknya untuk keluar tidak dipenuhi. Sejurus pesawat mendarat lelaki itu melompat serta-merta sebelum sempat tangga diletakkan.
"Lelaki itu mengalami kecederaan pada kaki dan ditahan pihak berkuasa Thailand ketika cuba melarikan diri," jelas laporan itu lagi. - Agensi