WASHINGTON - Negara Amerika Latin terus menjadi sasaran Amerika Syarikat (AS) selepas ia kini 'menguasai' sektor minyak Venezuela.
Pada Sabtu, Presiden Donald Trump dengan angkuh menyatakan Havana akur untuk berbincang dengan Washington setelah pentadbiran Rumah Putih memberi tekanan lebih besar dengan memutuskan bekalan minyak utama mereka.
Pemimpin Republikan itu bagaimanapun tidak memberikan butiran lanjut tentang kesepakatan awal yang dicapai bersama Cuba.
Matlamat Trump menyasarkan negara pulau di Caribbean itu bagaimanapun masih tidak jelas ketika ketegangan memuncak ke tahap paling serius sejak krisis peluru berpandu pada 1962.
Sebelum ini, Presiden ke-47 AS itu pernah meramalkan kerajaan komunis yang mentadbir Havana bakal runtuh tidak lama lagi.
Pada minggu lalu, Trump turut menandatangani perintah eksekutif untuk mengenakan tarif ke atas produk dari negara yang menjual atau membekalkan minyak kepada Havana.
Langkah itu meletakkan tekanan ke atas Mexico yang menjadi sumber utama bekalan minyak kepada Cuba selepas Trump menghentikan penghantaran minyak dari Venezuela susulan penggulingan Nicolas Maduro.
Presiden Mexico, Claudia Sheinbaum memberi amaran tindakan sedemikian bakal menyebabkan krisis kemanusiaan di Havana yang sudah pun bergelut dengan ketidakstabilan ekonomi.
"Saya akan mencari alternatif untuk terus membantu Cuba," ujarnya. - Agensi