Malaysia cari alternatif bantu 18 rakyat terkandas di Bolivia

Iklan
Datuk Kamarudin Jaffar

PUTRAJAYA - Kementerian Luar menjelaskan Kedutaan Besar Malaysia di Lima, Peru telah berhubung dengan 18 orang rakyat negara ini yang terkandas di Bolivia.

Timbalan Menterinya, Datuk Kamarudin Jaffar berkata, memandangkan kerajaan Bolivia telah mengisytiharkan perintah berkurung atau 'lockdown' dan menangguhkan sebilangan besar penerbangan, kedutaan Malaysia sedang meneliti alternatif bagi membantu kesemua rakyat negara ini yang terkandas.

Iklan
Iklan

"Menyentuh mengenai laporan di sebuah portal berita mengenai 18 orang rakyat Malaysia yang terkandas di Bolivia, saya ingin memaklumkan bahawa Kedutaan Besar Malaysia di Lima, Peru yang ditauliahkan serentak ke Bolivia telah berhubung dengan kumpulan rakyat Malaysia tersebut dan telah memberi bantuan konsular sewajarnya," katanya.

Beliau berkata demikian pada Sidang Media Berkaitan Rakyat Malaysia Yang Terkandas di Luar Negara Ekoran Pembatalan dan Sekatan Penerbangan Oleh Beberapa Negara Berikutan Penularan Pandemik Covid-19 di sini hari ini.

Sementara itu, merujuk kepada isu pelajar Malaysia di luar negara, Wisma Putra melalui perwakilan-perwakilan di luar negara sentiasa berhubung dengan Education Malaysia (EM), Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), Majlis Amanah Rakyat (Mara) serta wakil-wakil komuniti pelajar Malaysia di luar negara bagi mendapatkan perkembangan terbaru.

Iklan

Jelasnya, ia bagi memastikan kebajikan, keselamatan dan kesihatan para pelajar yang terkandas diberikan perhatian sewajarnya.

"Buat masa ini, pihak JPA menerusi satu kenyataan pada 29 Mac 2020 telah memaklumkan bahawa kesemua pelajar tajaan JPA di luar negara, dinasihatkan untuk kekal berada di negara pengajian masing-masing.

Iklan

"Para pelajar juga diingatkan supaya bertenang, tidak panik, menjaga kesihatan diri dan mematuhi segala arahan universiti, pihak berkuasa tempatan serta berhubung rapat dengan kedutaan Malaysia.

"Begitu juga dengan Majlis Amanah Rakyat (Mara) menerusi satu kenyataan pada 28 Mac 2020 telah memaklumkan, bagi negara-negara yang tidak menyarankan pelajar asing untuk pulang ke negara masing-masing, Mara meminta supaya pelajar mereka terus kekal di negara pengajian," katanya memberitahu pertimbangan itu dibuat selepas menilai risiko semasa pergerakan dan penerbangan serta isu-isu logistik secara mendalam.

Mengulas lanjut, beliau berkata, pihaknya mengambil maklum bahawa terdapat laporan yang mendakwa kononnya Wisma Putra menyerahkan sepenuhnya kepada pihak lain untuk membantu memudah cara urusan kepulangan rakyat Malaysia yang terkandas di luar negara.

Tegasnya, sokongan yang diterima ialah menerusi pembiayaan kos penerbangan sahaja, manakala rundingan dengan kerajaan asing sentiasa dilakukan oleh pihak Wisma Putra secara rasmi melalui saluran diplomatik.

"Jadi, saya ingin menegaskan sekali lagi, sesungguhnya usaha membantu rakyat Malaysia yang terkandas ini merentasi politik. Ini bermakna, semua pihak digalakkan untuk membantu kerajaan Malaysia. Di waktu yang sukar ini, seharusnya semua pihak saling berganding bahu dan bekerjasama.

"Usaha membantu rakyat Malaysia yang terkandas merupakan antara peranan utama Wisma Putra. Jadi Wisma Putra akan terus memainkan peranan ini dengan sebaik mungkin walau apa jua cabaran yang terpaksa dilalui, namun sekiranya ada pihak yang ingin membantu, kami amat mengalu-alukannya," katanya.