KUALA LUMPUR - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru rakyat supaya memberi tumpuan kepada semangat perpaduan dan kebersamaan sempena sambutan Tahun Baharu Cina.
Beliau berkata, sambutan perayaan itu seharusnya diraikan dengan penuh muhibah tanpa diganggu isu lain yang boleh menjejaskan keharmonian.
“Selamat Hari Raya Cina bagi harapan kemajuan, rakyat, perpaduan. Ini pada hari ini, hari yang patut tumpu kepada semangat perpaduan Hari Raya (Tahun Baharu) Cina.
“Itu yang penting sekarang. Jangan sibuk soal-soal lain nantilah. Sabar. Lebih baik fokus hari ini kepada semangat rakyat,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika menghadiri Majlis Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina anjuran Malaysian Chinese Association (MCA) di ibu negara.
Ketibaan beliau disambut Presiden MCA, Wee Ka Siong.
Turut hadir memeriahkan majlis ialah Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi serta bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Kehadiran barisan pemimpin utama negara itu menyerlahkan semangat kebersamaan dan perpaduan dalam meraikan sambutan Tahun Baharu Cina bersama masyarakat pelbagai kaum.