NIMP 2030: Kerja gaji lima angka menanti anak muda

Iklan

SHAH ALAM – Pelaksanaan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030) dilihat berada di landasan yang tepat, apabila nilai tambah Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi sektor pembuatan merekodkan pertumbuhan 3.7 peratus kepada RM96.9 billion pada suku tahun kedua tahun ini. 

Perkembangan itu membolehkan negara menawarkan 3.3 juta pekerjaan baharu dengan gaji permulaan RM4,000 hingga RM10,000 bagi sektor kemahiran berimpak tinggi seperti elektrikal dan elektronik (E&E), farmaseutikal, dan aeroangkasa, serta sektor pertumbuhan baharu seperti kenderaan elektrik (EV), tenaga boleh diperbaharui (RE) dan bahan termaju. 

Iklan
Iklan

Dari sudut guna tenaga, bilangan pekerja sektor pembuatan meningkat 0.9 peratus atau tambahan kira-kira 27,000 orang pada suku tahun kedua 2025 menjadikan jumlah keseluruhan 2.83 juta orang sementara gaji median turut naik daripada RM2,360 pada 2023 kepada RM2,490 tahun lalu. 

Pelan yang dilancarkan pada 1 September 2023 itu menunjukkan perkembangan memberangsangkan meskipun pelan itu baru memasuki tahun ketiga yang mana pelaksanaannya mencerminkan aspirasi kerajaan untuk mentransformasi sektor perindustrian kepada lebih berdaya saing, berteknologi tinggi dan bernilai tambah tinggi.

Iklan

Projek flagship NIMP 2030 capai kemajuan

Iklan

Selain prestasi makro, beberapa projek dan inisiatif utama di bawah NIMP 2030 turut mencatatkan kemajuan ketara antaranya program Smart Tech-Up dan pengiktirafan kilang pintar yang menyaksikan sebanyak 26 syarikat telah diiktiraf pada suku ketiga tahun ini. 

Tambahan 44 syarikat dijangka menerima pengiktirafan menjelang akhir 2025, sekali gus melepasi sasaran asal 40 kilang pintar.

Dari aspek pembiayaan, Dana Pelaburan Bersama Strategik NIMP (CoSIF) yang dilancarkan pada Februari lalu dengan peruntukan RM131.5 juta telah membantu meningkatkan akses pembiayaan kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta syarikat pertengahan (MTC). 

Sehingga Oktober lalu, enam kempen pengumpulan dana berjaya diselesaikan, manakala 40 lagi kempen baharu dikenal pasti dengan sasaran dana RM160 juta.

Bagi pembangunan EV, projek kenderaan elektrik nasional oleh Perodua menunjukkan kemajuan pelaksanaan sebanyak 90 peratus dengan pelancarannya dijangka memasuki pasaran pada suku keempat.

Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) juga menerajui Projek Rintis Pemerangkapan Karbon Kebangsaan (National Carbon Capture – NCC) sebagai sokongan kepada pembangunan sektor baharu CCUS (Carbon Capture, Utilisation and Storage) dan kini berada pada fasa kajian kejuruteraan Front-End Loading (FEL) 2.

Cabaran PKS, tenaga mahir 

Walaupun kemajuan dicapai, MITI mengakui pelaksanaan NIMP 2030 tidak terlepas daripada cabaran, khususnya melibatkan kesiapsiagaan industri dan kekurangan bakat berkemahiran tinggi.

Cabaran terbesar dikenal pasti ialah jurang tahap kesiapsiagaan industri, terutamanya dalam kalangan PKS yang masih berada pada peringkat awal digitalisasi. 

Kekangan aliran tunai, risiko komersial serta kebergantungan kepada pembiayaan tradisional menyebabkan sebahagian PKS teragak-agak untuk melabur dalam automasi dan teknologi baharu.

"Tidak semua pemain industri berada pada tahap fitness yang sama untuk berlari maraton transformasi ini. Justeru itu, CoSIF diperkenalkan bagi mengurangkan jurang pembiayaan dan menggalakkan pelaburan bersama antara kerajaan dan sektor swasta," kata MITI dalam kenyataan di sini.

Selain itu, kekurangan bakat teknikal berkemahiran tinggi dalam bidang automasi, data, kejuruteraan maju dan kecerdasan buatan (AI) turut menjadi kekangan utama.

Keperluan untuk melatih semula dan meningkatkan kemahiran tenaga kerja sedia ada dilihat semakin mendesak bagi memastikan mereka mampu menyokong aspirasi NIMP 2030.

MAG menerima pengiktirafan global sekali gus membuktikan model latihan industri sebenar bukan sahaja efektif dalam melahirkan tenaga berkemahiran tinggi negara.

"MITI sedang giat mempromosikan kerjaya dalam sektor perindustrian dalam kalangan anak muda, serta membantu pihak industri meningkatkan tahap penggunaan teknologi pembuatan agar sektor ni akan jadi lebih menarik untuk bakat-bakat muda berkemahiran tinggi," katanya.

TVET, STEM enjin utama kejayaan NIMP 2030 

Bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) serta STEM (Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik) dikenal pasti sebagai pemacu utama kejayaan NIMP 2030 yang mana gabungannya membantu merapatkan jurang kemahiran melalui program reskilling dan upskilling, sekali gus memastikan peralihan ke arah pembuatan pintar dapat dilaksanakan secara lebih lancar.

TVET berperanan melahirkan tenaga kerja praktikal seperti juruteknik dan operator mahir yang menjadi tulang belakang kepada pelaksanaan automasi dan pembuatan pintar di lantai kilang.

Manakala, graduan STEM pula memainkan peranan sebagai pencipta dan inovator yang memacu penyelidikan dan pembangunan (R&D), menyelesaikan masalah teknikal kompleks serta memperkenalkan teknologi baharu bagi meningkatkan daya saing industri tempatan.

Bagi memastikan bekalan bakat mencukupi, MITI akan terus memainkan peranan aktif dalam menarik minat pelajar dengan menonjolkan prospek kerjaya berpendapatan tinggi dan stabil dalam sektor perindustrian.

Usaha itu termasuk kerjasama dengan industri untuk menganjurkan lawatan ke syarikat berteknologi tinggi, sesi perkongsian bersama jurutera dan usahawan berjaya, serta pendedahan awal terhadap penggunaan teknologi seperti automasi, robotik, teknologi kecerdasan buatan dan tenaga hijau.

MITI juga bekerjasama rapat dengan Kementerian Pendidikan, Kementerian Pengajian Tinggi dan penyedia latihan TVET bagi memastikan kurikulum selari dengan keperluan industri serta menawarkan lebih banyak peluang latihan industri, internship dan apprenticeship berkualiti.

“Apabila pelajar melihat hubungan jelas antara pembelajaran dan peluang pekerjaan sebenar, minat terhadap TVET dan STEM akan meningkat. Ini penting bagi memastikan Malaysia mempunyai tenaga kerja masa depan yang mampu merealisasikan aspirasi NIMP 2030,” kata MITI.