Legasi Senada jayakan Program PEKB di Kelantan

Iklan
Pertubuhan Legasi Senada berjaya anjurkan Program Pemerkasaan Ekonomi Bandar (PEKB) yang memberi tumpuan kepada pembangunan kemahiran, keusahawanan dan penjanaan pendapatan mampan kepada para peserta.

KOTA BHARU – Pertubuhan Legasi Senada berjaya memberi pendedahan pembangunan kemahiran, keusahawanan serta penjanaan pendapatan mampan kepada 35 peserta terpilih menerusi Program Pemerkasaan Ekonomi Bandar (PEKB) yang dilaksanakan di Kelantan.

Pemilihan peserta dibuat melalui proses bancian dan saringan teliti yang dijalankan oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berkenaan, dengan fokus kepada golongan sasaran di kawasan bandar dan separa bandar.

Iklan
Iklan

Program tersebut dirangka khusus bagi memperkasa kemahiran peserta melalui latihan intensif dalam bidang seni kreatif yang mempunyai potensi pasaran tinggi. Tiga cabang utama diketengahkan iaitu pembuatan batik shibori, clay linut dan eco printing, yang semakin mendapat permintaan dalam pasaran tempatan serta antarabangsa, selain sesuai dijadikan sumber pendapatan berterusan.

Pengerusi Pertubuhan Legasi Senada, Wendy Said berkata, PEKB merupakan platform strategik yang memainkan peranan penting dalam membina daya tahan ekonomi komuniti, khususnya dalam kalangan golongan miskin bandar.

Iklan

WENDY

Menurutnya, program berimpak tinggi itu bermula pada 19 Januari 2026 dan berlangsung selama tujuh hari bertempat di Holiday Villa Kota Bharu.

Iklan

“Sepanjang tempoh latihan, peserta bukan sahaja didedahkan kepada teknik pembuatan secara profesional dan berstandard industri, malah turut dibimbing dalam aspek penjenamaan produk, pemasaran digital dan konvensional, penetapan harga, pengurusan kos serta penerokaan peluang pasaran,” katanya.

Beliau menjelaskan, pendekatan menyeluruh itu bertujuan memastikan peserta bukan sekadar memiliki kemahiran teknikal, sebaliknya turut mempunyai kefahaman praktikal untuk membina dan mengembangkan perniagaan sendiri selepas tamat program.

Tambah Wendy, PEKB tidak seharusnya dilihat sebagai program latihan kemahiran jangka pendek semata-mata, sebaliknya sebagai satu ekosistem sokongan menyeluruh yang merangkumi pembangunan kemahiran, pemerkasaan minda keusahawanan serta pendedahan kepada realiti dan keperluan pasaran semasa.

“Pendekatan ini memberi peluang sebenar kepada peserta untuk keluar daripada kitaran pendapatan rendah dan membina sumber ekonomi yang lebih stabil serta mampan,” ujarnya.

Selama tiga hari bengkel ini dianjurkan, para peserta didedahkan tentang penghasilan batik.

Beliau berkata, sepanjang pelaksanaan program, pihak penganjur dapat melihat perubahan ketara dalam diri peserta, bukan sahaja dari segi peningkatan kemahiran teknikal, malah melibatkan aspek keyakinan diri, sikap, disiplin dan kesediaan untuk berdikari sebagai usahawan kecil.

“Ramai peserta yang pada awalnya ragu-ragu dengan kemampuan sendiri, kini menunjukkan keyakinan untuk menghasilkan produk berkualiti serta berfikir secara lebih strategik mengenai potensi perniagaan mereka,” katanya.

Wendy turut menegaskan bahawa elemen bimbingan dalam aspek penjenamaan, pemasaran dan pengkomersialan produk merupakan nilai tambah penting bagi memastikan peserta tidak terhenti setakat penguasaan kemahiran semata-mata.

“Apa yang kita mahukan ialah peserta mampu meneruskan usaha ini selepas tamat program, mengembangkan perniagaan masing-masing dan seterusnya menyumbang kepada ekonomi setempat,” katanya.

Dalam pada itu, beliau merakamkan penghargaan kepada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan atas kepercayaan serta sokongan berterusan terhadap Pertubuhan Legasi Senada dalam melaksanakan program berimpak tinggi seperti PEKB.

Menurutnya, kerjasama erat itu membuktikan pembangunan ekonomi komuniti memerlukan pendekatan kolaboratif, inklusif dan berfokus kepada keperluan sebenar rakyat, selain membuka lebih banyak peluang pekerjaan berasaskan kemahiran serta menggalakkan pertumbuhan industri kreatif tempatan.

“Sambutan amat menggalakkan daripada peserta mencerminkan keberkesanan program ini dalam memenuhi keperluan sebenar kumpulan sasar. Selain ilmu dan kemahiran, program ini turut menyuntik semangat, motivasi serta harapan baharu kepada peserta untuk membina masa depan ekonomi yang lebih stabil dan berdaya saing,” katanya.