SHAH ALAM - Bidang TVET kini wajar dijadikan pilihan utama ibu bapa dalam menyediakan masa depan anak-anak, khususnya dalam dunia pekerjaan yang semakin menuntut kemahiran praktikal dan teknikal.
Pegawai Eksekutif Usahawan Amanah Ikhtiar Malaysia cawangan Perak, Zulkafli Md Lasi berkata, graduan TVET mempunyai kebolehpasaran tinggi, gaji progresif, dan membuka laluan kerjaya stabil serta permintaan tinggi dalam industri selari dengan aliran perdana.
"Ketika kerajaan mempromosikan bidang ini, saya melihatkan bahawa ilmu dan kemahiran perlulah bergerak seiring dalam menentukan kerjaya dan disebabkan itu, saya menggalakkan keenam-enam anak saya tidak kira lelaki atau perempuan untuk memilih bidang kemahiran tinggi yang boleh menjamin masa depan mereka.
"Dan kini, ada dalam kalangan anak-anak memiliki perniagaan sendiri, belajar dalam bidang elektrikal dan elektronik serta pengaturcaraan komputer. Yang bongsu berusia 17 tahun sudah saya daftarkan mengikuti kolej kulinari tahun hadapan," katanya ketika dihubungi Sinar Harian.
Mengulas persepsi negatif segelintir pihak terhadap TVET, Zulkafli menegaskan bahawa laluan akademik dan kemahiran adalah berbeza, namun kedua-duanya penting mengikut kecenderungan dan minat anak-anak.
“Saya sangkal pandangan negatif terhadap TVET ini kerana apabila kita asuh anak-anak mengikut kemahiran yang mereka minat, ia merupakan persediaan untuk mereka berdikari dan mencari pendapatan sendiri di masa hadapan.
"Saya galakkan ibu bapa mulakan dengan kolej komuniti atau GiatMARA kerana di situ titik permulaan yang baik lengkap pelajaran dan ada kemahiran. InsyaAllah ia boleh jana pendapatan walaupun tidak semestinya bergelar graduan universiti,” katanya.
Menurut Zulkafli, dia tidak berdepan cabaran besar untuk menghantar setiap anak menyambung pengajian teknikal kerana sejak awal telah merancang hala tuju pendidikan mereka.
“Kita sediakan tabungan pendidikan, jangan terlalu fikir soal duit semata-mata, tetapi fokus kepada minat anak. Apabila mereka minat, pembelajaran jadi lebih mudah dan berkesan.
"Jangan sedih jika anak tidak cemerlang tetapi galakkan mereka menyambung pelajaran dalam TVET kerana kerajaan sudah sediakan sistem pendidikan kemahiran yang lengkap," katanya.
Selari aspirasi NIMP 2030, kerajaan giat memperkasa ekosistem TVET melalui penambahbaikan kurikulum, peluasan institusi latihan kemahiran serta pengukuhan kerjasama dengan pemain industri.
Usaha ini bertujuan memastikan graduan TVET bukan sahaja memiliki kemahiran praktikal, malah berupaya menyesuaikan diri dengan perubahan teknologi, sekali gus meningkatkan kebolehpasaran dan potensi pendapatan mereka.