SHAH ALAM - Graduan TVET juga sering menjadi pilihan majikan kerana kemahiran yang dimiliki, selain mempunyai gerak kerja yang cekap terutama sektor automotif.
Pengarah MAG Auto Garage Services Sdn Bhd, Dr Azlina Ahmad berkata, industri berkenaan memerlukan pekerja yang faham prosedur, peralatan dan risiko kerja tanpa memerlukan tempoh latihan asas yang panjang selain mempunyai pengalaman bekerja di bengkel sebenar.
Menurutnya, dalam banyak kes, mereka lebih diutamakan kerana kecekapan praktikal dan disiplin kerja berbanding kelayakan akademik semata-mata.
"Syarikat kami memerlukan pekerja yang mempunyai kemahiran teknikal TVET seperti diagnostik kenderaan menggunakan alat moden, penyelenggaraan dan pembaikan kenderaan ringan, kefahaman sistem enjin, elektrik dan elektronik serta pematuhan prosedur operasi standard (SOP) keselamatan bengkel.
"Selain itu, mereka juga memiliki kemahiran sokongan industri seperti etika kerja dan disiplin masa, keupayaan bekerja dalam pasukan, kesediaan belajar teknologi baharu (IR4.0) dan komunikasi asas dengan pelanggan.
"Lepasan TVET yang baik biasanya lebih cepat menyesuaikan diri dengan keperluan ini," katanya.
Azlina berkata, lepasan TVET juga mempunyai peluang luas dalam kerjaya mereka dengan kenaikan pangkat dan gaji berasaskan prestasi, kemahiran dan tanggungjawab.
"Dalam realiti industri, kemahiran yang boleh menjana hasil lebih bernilai daripada kelayakan teori semata-mata dan mereka berpeluang dinaikkan ke jawatan penyelia bengkel, ketua jurutenik atau pakar diagnostik malah, memperoleh pendapatan setara graduan akademik.
"Sumbangan mereka sangat signifikan dalam produktiviti syarikat dan negara. Dalam sektor automotif selepas jualan, TVET bukan lagi pilihan kedua sebaliknya ia adalah tulang belakang industri.
"Lepasan TVET bukan sahaja relevan, malah menjadi aset strategik kepada syarikat dari segi produktiviti, kualiti dan kelestarian perniagaan," katanya.
Bertindak sebagai perintis kepada Program Akademi Dalam Industri bersama Malaysia Productivity Corporation (MPC), MAG berjaya melahirkan graduan Diploma Diagnostik dan teknologi IR4.0 dengan sembilan daripadanya dijemput menyertai Konvokesyen Antarabangsa House of Commons, Parlimen United Kingdom, bulan lalu.
Keberhasilan graduan TVET dalam industri automotif mencerminkan aspirasi NIMP 2030 untuk membina ekosistem kerja yang berdaya saing dan inklusif.
Dengan peluang kenaikan pangkat, pendapatan setara graduan akademik dan penglibatan dalam teknologi IR4.0, laluan pendidikan kemahiran kini bukan sahaja relevan, malah menjadi tunjang utama dalam memastikan pembangunan industri berterusan dan pertumbuhan ekonomi berpendapatan tinggi menjelang 2030.