KLANG - Tindakan nekad seorang lelaki tempatan berurusan dengan sindiket untuk pulang ke Malaysia melalui jalan laut selepas bertemu isteri kedua di Medan, Indonesia hanya menjerat diri selepas ditahan pihak berkuasa pada Isnin.
Bot fiber dinaiki lelaki itu ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Selangor di jarak kira-kira 1.5 batu nautika barat daya Bagan Nahkoda Omar, Sabak Bernam pada jam 12.30 tengah malam.
Lelaki yang namanya enggan dikenali berusia 46 tahun itu mendakwa, dia telah setahun berkahwin dengan isteri keduanya selepas berkenalan di Rawang.
"Saya pulang empat ke lima hari di sana (Medan) naik bot (sindiket). Lepas itu balik semula.
"Saya kena jumpa isteri kedua sebab dia sedang hamil lima bulan. Terpaksa guna 'jalan belakang' sebab pasport saya dipegang oleh isteri pertama, dia tidak tahu saya dah berkahwin dan pergi ke Indonesia ini," katanya ketika disoal pegawai Maritim Selangor di Pejabat Maritim Selangor di sini pada Selasa.
Kata pemandu lori itu, dia menggunakan khidmat ejen sindiket bagi menggunakan jalan laut selepas dikenalkan oleh isteri keduanya.
"Saya bayar RM1,100 kepada ejen untuk naik bot. Keadaan dalam bot memang kelaparan, gelap. Dari sana (Tanjung Balai) jam 5 petang sampai tengah malam," kata bapa empat anak itu.
Sementara itu, Pengarah Maritim Selangor, Kepten Maritim Abdul Muhaimin Muhammad Salleh berkata, pemeriksaan mendapati bot fiber tanpa nombor pendaftaran itu dikendalikan tekong warga Myanmar berusia 36 tahun.
Menurutnya, terdapat 26 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Indonesia terdiri daripada 17 lelaki termasuk seorang kanak-kanak lima tahun selain sembilan wanita.
"Turut berada di bot terbabit ialah dua lelaki tempatan yang dipercayai pulang ke negara ini melalui laluan tidak sah.
"Salah seorang lelaki tempatan itu tidak memiliki dokumen pasport dan kita siasat apa hubungan antara kedua-dua mereka," katanya dalam sidang akhbar di sini.
Tambahnya, Maritim Malaysia tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terlibat dalam jenayah rentas sempadan.
"Kita akan terus mempergiat operasi penguatkuasaan di perairan negara," ujarnya.