JOHOR BAHRU - Dua pegawai imigresen mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, pada Selasa atas pertuduhan berkaitan 'pasport terbang' pada tahun lalu.
Tertuduh, Shamsul Hezzam Sudin, 50, dan Mohd Asrof Tukiman, 48, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan berasingan di hadapan Hakim Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail.
Mengikut pertuduhan, Shamsul Hezzam yang menjawat jawatan Pegawai Imigresen Kanan KP2 di Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) didakwa bersetuju menerima wang tunai RM8,000 tanpa balasan daripada seorang lelaki.
Tertuduh menerima wang itu sebagai rasuah bagi membantu mendapatkan cop pengesahan keluar dan masuk ke negara Malaysia secara tidak teratur tanpa kehadiran fizikal pemilik pasport.
Perbuatan itu didakwa dilakukan Shamsul Hezzam di sebuah kuarters di Sri Bendahara A, Jalan Pahlawan, Bukit Saujana di sini antara 7 hingga 8 Julai 2025.
Sementara itu, Mohd Asrof didakwa atas tiga pertuduhan bersetuju menerima rasuah masing-masing RM1,540, RM2,950 dan RM2,000 daripada seorang ejen melalui akaun sebuah bank di cawangan Tampoi, Taman Sri Bahagia di sini antara 21 Mei hingga 2 Jun 2025.
Kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan (Akta 574) yang memperuntukan hukuman maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Pertuduhan dikendalikan Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Alice Voon Mei Ling manakala Shamsul Hezzam diwakili peguam Omar Kutty dan Mohd Asrof pula diwakili peguam Abd Rahim Ali.
Hakim Ahmad Kamal Arifin membenarkan jaminan sebanyak RM8,000 terhadap Shamsul Hezzam dan RM10,000 kepada Mohd Asrof dengan setiap seorang penjamin.
Mahkamah menetapkan setiap 27 Februari depan sebagai tarikh sebutan semula kes.