KOTA KINABALU – Sekolah menengah agama tempat Allahyarham Zara Qairina Mahathir bersekolah sekali lagi akan menjadi tumpuan pada minggu hadapan apabila Mahkamah Koroner dijangka melawat lokasi kejadian remaja itu ditemukan tidak sedarkan diri pada 16 Julai tahun lalu.
Perkara itu dimaklumkan oleh peguam, Shahlan Jufri selepas prosiding inkues melibatkan seorang lagi saksi kanak-kanak yang dipanggil semula selesai memberikan keterangannya pada Selasa.
Menurutnya, semua saksi kanak-kanak setakat ini telah selesai memberikan keterangan sebelum prosiding disambung pada Jumaat ini dengan saksi dewasa, selain dijangka turut diadakan lawatan ke lokasi kejadian pada minggu hadapan.
“Setakat ini, semua saksi kanak-kanak telah selesai memberi keterangan dan tiada lagi yang akan dipanggil semula buat masa ini. Prosiding akan bersambung dengan saksi dewasa, iaitu guru-guru, pada Jumaat ini.
“Minggu hadapan pula dijangka ada beberapa orang saksi lagi dan Mahkamah Koroner dijangka akan melawat sekolah sekali lagi, namun tarikh lawatan masih belum ditentukan,” katanya kepada pemberita di pekarangan Kompleks Mahkamah Kota Kinabalu di sini, pada Selasa.
Mengulas ringkasan prosiding, Shahlan berkata, saksi kanak-kanak ke-32 memaklumkan kepada mahkamah bahawa dia tidak dapat mengingati identiti individu ketiga yang menyerahkan surat bersifat peribadi daripada Allahyarham kepadanya.
“Saksi ini dipanggil semula bagi menjelaskan beberapa perkara, termasuk kewujudan ‘keychain’ avokado dan beberapa helai kertas yang diterima oleh pelajar ini sebelum diserahkan kepada seorang ustazah.
“Kami bertanya mengenai ‘keychain’ dan beberapa helai kertas tersebut. Barang-barang itu diterima daripada rakan Zara, bermaksud ada pelajar lain yang menyampaikannya kepada saksi, namun kesemua barang tersebut asalnya diberikan oleh Zara.
“Terdapat juga beberapa helai kertas yang diterima sama ada sebelum atau selepas kejadian. Namun apabila ditanya mengenai satu surat yang dilabel sebagai surat peribadi, saksi tidak dapat mengingati siapa yang menyerahkannya dan sama ada ia diterima sebelum atau selepas kejadian,” katanya.
Shahlan turut memaklumkan bahawa saksi menjelaskan dia mengumpulkan semua barangan tersebut dan memasukkannya ke dalam beg plastik putih sebelum menyerahkannya kepada ustazah untuk disimpan sementara.
“Selepas itu, saksi bercadang untuk mengambil semula barangan tersebut, namun ia telah diserahkan kepada pihak polis,” katanya.
Shahlan bersama rakan sepasukannya, Rizwandean M Borhan, Mohd Syarulnizam Mohd Salleh, Mohd Luqman Syazwan Zabidi, Farrah Nasser dan Elhanan James mewakili ibu Zara Qairina, Noraidah Lamat, dalam prosiding inkues tersebut.
Zara Qairina, 13, ditemukan tidak sedarkan diri di bawah bangunan asrama sebuah sekolah agama di Papar pada 16 Julai tahun lalu dan meninggal dunia keesokan harinya di Hospital Queen Elizabeth I (HQEI).