KLANG – Seorang penunggang p-hailing mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen dan Majistret di sini, atas kes menyamar sebagai anggota polis, merompak dan merogol seorang kerani wanita, Ahad minggu lalu.
R Sathiyaseelan, 32, membuat pengakuan itu selepas tiga pertuduhan dibaca dalam bahasa Tamil, di hadapan Hakim, Sharifah Hascindie Syed Omar dan Majistret, A Karthiyayini.
Mengikut pertuduhan, Sathiyaseelan didakwa merogol seorang wanita berusia 37 tahun di parkir kenderaan di Jalan Tapah Kawasan 18, di sini jam 2 pagi pada 18 Januari lalu.
Dia didakwa mengikut Seksyen 376(2)(a) Kanun Keseksaan dan boleh dihukum bawah Seksyen 376(2) kanun sama yang membawa hukuman penjara antara 10 hingga 30 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.
Dalam pada itu, di mahkamah sama, dia dan seorang rakannya, peniaga kuih, M Balaraj, 34, mengaku tidak bersalah, menyamun secara berkumpulan dengan mengambil telefon bimbit dan wang RM110 milik mangsa sama pada waktu, tarikh dan lokasi serupa.
Mereka dituduh Seksyen 395 kanun sama yang membawa hukuman penjara 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.
Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Nor Suhaili Abu Bakar mencadangkan kedua-dua tertuduh, tidak diberi ikat jamin.
“Ia termasuk syarat tambahan iaitu melaporkan diri di balai polis sekali setiap bulan dan tidak mengganggu mangsa serta saksi pendakwaan,” katanya.
Bagaimanapun, peguam, Nathiya Kamalanathan yang mewakili kedua-dua tertuduh merayu mereka diberi ikat jamin pada kadar rendah.
“Mereka perlu menyara ibu masing-masing yang menghidap penyakit diabetes serta darah tinggi,” katanya.
Sharifah Hascindie membenarkan Sathiyaseelan diikat jamin berjumlah RM17,000 sementara Balaraj sebanyak RM7,000 dengan seorang penjamin dan memenuhi syarat tambahan yang dicadangkan pihak pendakwaan.
Sementara itu, di Mahkamah Majistret, mereka juga didakwa menyamar sebagai anggota Polis Diraja Malaysia pada masa, tarikh dan lokasi sama.
Mereka yang juga anak bongsu daripada tiga beradik, didakwa mengikut Seksyen 170 dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama membawa hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau dengan kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya, Nadia Syuhada mencadangkan setiap tertuduh diberi ikat jamin sebanyak RM8,000 dengan seorang penjamin.
Semasa rayuan, Nathiya merayu agar anak guam dikenakan ikat jamin pada kadar minimum dengan alasan keluarga tidak berkemampuan untuk membayar jaminan yang terlalu tinggi.
Selepas mendengar permohonan daripada semua pihak, Karthiyayini membenarkan setiap tertuduh diikat jamin sebanyak RM3,000 dengan seorang penjamin.
Kedua-dua mahkamah menetapkan sebutan semula kes pada 5 Mac depan.