ALOR SETAR – Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Utara Malaysia (MPP UUM) menafikan sekeras-kerasnya penglibatan mereka dalam hebahan tular di media sosial bertajuk 'operasi menangkap pelajar Kelantan' yang menggunakan nama organisasi itu sebagai penganjur.
Dalam satu kenyataan rasmi, MPP UUM menegaskan pihaknya tidak pernah merancang, meluluskan atau terlibat dengan sebarang operasi atau kempen yang bersifat mendiskriminasi mana-mana kumpulan pelajar.
Menurutnya, mereka kesal dengan tindakan pihak tidak bertanggungjawab yang menyalahgunakan identiti organisasi tersebut dalam menyebarkan kandungan yang menyentuh sensitiviti kenegerian.
“Penggunaan nama MPP dalam bahagian anjuran pada hantaran tersebut adalah satu tindakan tidak beretika dan merupakan pelanggaran integriti yang berat.
“Kandungan seperti ini tidak boleh dianggap gurauan kerana ia berisiko mencetuskan sentimen kenegerian negatif serta menggugat keharmonian warga kampus,” kata kenyataan itu.
MPP UUM turut menuntut pihak yang terlibat supaya segera menghentikan penyebaran hebahan berkenaan dan memadam semua bahan berkaitan daripada saluran komunikasi bagi mengelakkan kekeliruan berterusan.
Jelasnya, organisasi itu juga memberi amaran tidak akan teragak-agak melaporkan perkara tersebut kepada pihak pengurusan universiti untuk tindakan lanjut selaras dengan Peraturan-Peraturan Universiti Utara Malaysia (Tatatertib Pelajar-Pelajar) 1999 sekiranya identiti mereka terus disalahgunakan.
“Mahasiswa dinasihatkan agar sentiasa berhati-hati dengan maklumat yang diterima dan hanya merujuk kepada saluran rasmi MPP UUM bagi memastikan kesahihan sesuatu hebahan.
“Marilah kita bersama-sama menjaga keharmonian dan nama baik Universiti Utara Malaysia,” tegas kenyataan tersebut.
Sebelum ini, media melaporkan tular di media sosial mengenai hebahan berunsur prejudis yang mengaitkan universiti-universiti awam termasuk UUM dengan kempen menangkap pelajar Kelantan di sekitar kampus.