MBPP sedia kutipan sampah pukal 10 hari sempena Tahun Baharu Cina

Iklan
Jadual kutipan sampah sempena Tahun Baru Cina pada Februari nanti.

GEORGE TOWN – Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) akan menyediakan perkhidmatan kutipan sampah domestik dan pukal secara intensif selama 10 hari sempena sambutan Tahun Baharu Cina Februari ini bagi memastikan kebersihan bandar raya terpelihara sepanjang musim perayaan.

Ahli Majlis yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kecil Perkhidmatan Perbandaran, Rohaizat Hamid berkata, perkhidmatan kutipan sampah pukal tambahan itu akan dilaksanakan bermula 7 hingga 16 Februari ini susulan jangkaan peningkatan jumlah sisa pepejal, khususnya di kawasan kediaman dan pasar awam.

Iklan
Iklan

Menurutnya, bagi sampah domestik, kutipan di premis kediaman bertanah akan diteruskan mengikut jadual biasa, iaitu tiga kali seminggu sepanjang tempoh perayaan.

Sementara itu, kutipan sampah bagi premis kediaman bertingkat pula akan dijalankan seperti biasa setiap hari kecuali hari Ahad.

Iklan

“Bagi tong Multi-Lift, kutipan sampah domestik akan dilakukan dua kali sehari bermula 7 hingga 16 Februari memandangkan kapasiti sampah dijangka meningkat dengan ketara,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Jelas beliau lagi, kutipan pertama akan dilaksanakan dari jam 4 hingga 10 pagi manakala kutipan kedua dari jam 12 tengah hari hingga 4 petang, melibatkan tujuh lokasi tong Multi-Lift di pasar dan kompleks makanan.

Iklan

“MBPP turut menambah bilangan tong Multi-Lift di beberapa pasar awam yang dikenal pasti sebagai ‘hotspot’ pembuangan sisa semasa musim perayaan bagi memudahkan orang ramai melupuskan sampah pukal seperti perabot lama, tilam dan bantal.

“Antara lokasi terlibat ialah Pasar Awam Pulau Tikus, Pasar Awam Taman Tun Sardon Sungai Ara, Pasar Awam Lebuh Campbell, Pasar Awam Batu Lanchang, Pasar Awam Farlim, Taman Free School serta Pasar Borong Macallum,” ujarnya.

Rohaizat turut memaklumkan bahawa perkhidmatan tambahan kutipan sampah pukal bersaiz biasa akan disediakan sepanjang tempoh sama sebagai sokongan kepada perkhidmatan sedia ada.

“Orang ramai dinasihatkan supaya meletakkan sampah pukal bersaiz biasa dalam beg atau bekas yang bersesuaian di hadapan premis masing-masing.

“Bagi pembuangan sampah pukal dalam kuantiti besar atau melebihi muatan biasa, orang ramai diminta menghubungi Jabatan Perkhidmatan Perbandaran MBPP di talian 04-263 3000 pada waktu pejabat untuk mendapatkan perkhidmatan khas,” katanya lagi.

Dalam perkembangan sama, beliau menegaskan larangan keras terhadap sebarang bentuk pemberian atau penerimaan ‘angpau’ melibatkan anggota dan kontraktor yang menjalankan tugas kutipan sampah serta pembersihan.

“MBPP memandang serius perkara ini dan kerjasama orang ramai amat diperlukan untuk tidak memberi sebarang sumbangan dalam apa jua bentuk.

“Sebarang aduan berkaitan boleh disalurkan kepada Hotline MBPP di talian 04-263 7637 yang beroperasi 24 jam atau Jabatan Perkhidmatan Perbandaran MBPP di talian 04-263 3000 pada waktu pejabat,” katanya.