Cadangan tukar nama Jalan Pantai Bersih kepada Dragon Temple Lane terus dibantah

Iklan
Kira-kira 200 penduduk bersama wakil NGO dan sayap parti politik berhimpun secara aman bagi menyuarakan bantahan mereka pada Khamis.

BUTTERWORTH – Bantahan terhadap cadangan menamakan semula Jalan Pantai Bersih kepada Dragon Temple Lane terus disuarakan apabila kira-kira 200 penduduk bersama wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta sayap parti politik berhimpun secara aman di sini pada Khamis.

Wakil penganjur himpunan, Azmi Jaafar berkata, penjelasan yang diberikan oleh Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow sebelum ini tidak mengubah pendirian penduduk yang masih mempersoalkan rasional cadangan tersebut dikemukakan.

Iklan
Iklan

Menurutnya, kawasan berkenaan didiami majoriti penduduk Melayu beragama Islam iaitu kira-kira 85 peratus dan sebarang perubahan terhadap nama jalan utama dikhuatiri boleh menjejaskan keharmonian masyarakat setempat.

“Sekiranya melibatkan lorong kecil, mungkin masih boleh dibincangkan. Namun, Jalan Pantai Bersih merupakan laluan utama yang sudah lama dikenali.

Iklan

“Cadangan ini seolah-olah mencetuskan keresahan penduduk dan kami mahu keharmonian terus dipelihara,” katanya ketika ditemui selepas perhimpunan tersebut yang turut dihadiri Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telok Air Tawar, Azmi Alang.

Dalam pada itu, Azmi Alang berkata, isu berkenaan akan dibawa untuk dibahaskan pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang dalam masa terdekat.

Iklan

Azmi Jaafar

“Jalan Pantai Bersih sudah lama menjadi identiti kawasan ini. Mengapa perkara ini baru dibangkitkan sekarang?” soalnya.

Sebelum ini, cadangan penamaan semula jalan tersebut menjadi perhatian selepas sebuah akhbar berbahasa Cina melaporkan gesaan Lim Guan Eng agar Jalan Pantai Bersih dinamakan sebagai Dragon Temple Lane.

Susulan itu, beberapa sayap parti politik termasuk Pemuda dan Puteri UMNO serta Angkatan Muda Keadilan (AMK) Pulau Pinang tampil menyuarakan bantahan terhadap cadangan tersebut.

Bagaimanapun, Exco Infrastruktur, Pengangkutan dan Digital negeri, Zairil Khir Johari pada Rabu dilaporkan berkata, cadangan pertukaran nama Jalan Pantai Bersih itu hanya melibatkan satu jalan cabang sepanjang kira-kira 280 meter yang turut menggunakan nama Jalan Pantai Bersih.

Zairil menjelaskan bahawa ia tidak membabitkan jalan utama seperti yang didakwa.

Menurutnya, permohonan tersebut diterima lebih setahun lalu hasil permohonan bersama oleh ADUN Sungai Puyu, Phee Syn Tze, dan Persatuan Thean Hock Keong.