BALIK PULAU - Kanak-kanak lelaki yang didakwa menjadi mangsa pukul oleh bapa saudaranya kini ditempatkan di bawah perlindungan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan sedang menerima rawatan di hospital.
Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Lim Hui Ying berkata, JKM telah bertindak sebaik kes berkenaan mendapat perhatian umum selain memastikan keselamatan mangsa terjamin.
“Kes ini telah pun disiasat dan JKM sudah melawat keluarga terbabit.
"Kanak-kanak lelaki yang dirotan itu kini berada di bawah perlindungan JKM dan sedang dirawat di hospital,” katanya ketika ditemui selepas menyerahkan papan pintar pembelajaran di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Sacred Heart di sini pada Jumaat.
Menurut beliau, keadaan mangsa dilaporkan stabil dan tidak mengalami kecederaan serius namun pemantauan rapi tetap dijalankan bagi memastikan kebajikan kanak-kanak tersebut terpelihara.
Hui Ying menambah, semua maklumat berkaitan kes itu telah diambil oleh JKM dan pihak kementerian akan bekerjasama sepenuhnya dengan Polis Diraja Malaysia bagi membantu siasatan lanjut.
“Tanggungjawab Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat melalui JKM adalah memastikan kanak-kanak dilindungi.
"Oleh itu, kes ini akan disiasat mengikut peruntukan akta kanak-kanak dan segala prosedur akan dilaksanakan secara teratur,” jelasnya.
Mengulas mengenai tempoh jagaan mangsa, Hui Ying berkata, setakat ini belum ada sebarang perintah mahkamah dikeluarkan dan tindakan selanjutnya akan dibuat berdasarkan hasil siasatan.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan mangsa mempunyai seorang adik namun buat masa ini hanya kanak-kanak lelaki terbabit ditempatkan di bawah perlindungan JKM.
“Kita akan pastikan adiknya juga berada dalam keadaan selamat dan terus memantau perkembangan kes ini dengan teliti,” katanya.
Tambah beliau, pihaknya masih mendapatkan maklumat lanjut berhubung ibu mangsa dan JKM akan terus membuat susulan secara dekat bagi memastikan kebajikan semua pihak terlibat terjamin.
Terdahulu, media melaporkan seorang lelaki berusia 38 tahun yang disyaki memukul anak saudaranya dengan rotan selain membaling kerusi di sebuah rumah di Petaling Jaya, Selangor direman dua hari bagi membantu siasatan.
Penahanan itu susulan kes video tular memaparkan kanak-kanak dipukul menggunakan rotan selain dibaling dengan kerusi di sebuah rumah.
Polis menerima laporan berhubung kejadian itu jam 1.21 tengah hari Jumaat minggu lalu daripada seorang warga tempatan.
Kejadian dipercayai berpunca apabila mangsa yang berusia antara lapan hingga 11 tahun bertindak melawan ibu kepada suspek.