'Jalan utama jadi parkir haram'

Iklan
Keadaan Jalan Residensi yang menjadi sempit disebabkan mereka yang tidak bertanggungjawab meletakkan kenderaan mereka di bahu jalan.

GEORGE TOWN – Tindakan tidak bertanggungjawab pemilik kenderaan yang meletakkan kereta di bahu jalan di Jalan Residensi berhampiran Hospital Pulau Pinang (HPP) terus mencetuskan kebimbangan, sekali gus mengancam keselamatan pengguna jalan raya lain.

Jalan Residensi merupakan laluan utama yang menghubungkan hospital, sekolah serta kawasan perumahan di pusat bandar dan digunakan secara aktif oleh kenderaan awam serta penunggang motosikal.

Iklan
Iklan

Tinjauan Sinar Harian mendapati, bahu jalan di laluan itu sering dipenuhi kenderaan yang diletakkan secara tidak bertanggungjawab terutama pada waktu puncak sehingga menyebabkan jalan menjadi sempit dan sesak.

Keadaan tersebut bukan sahaja mengganggu kelancaran trafik malah meningkatkan risiko kemalangan khususnya kepada penunggang motosikal yang terpaksa berkongsi ruang laluan terhad.

Iklan

Seorang penunggang motosikal yang mahu dikenali sebagai Amzar, 30-an berkata, dia pernah berdepan detik cemas apabila hampir terlanggar sebuah kereta yang diletakkan di tepi jalan selepas kenderaan di hadapannya brek secara mengejut.

Jalan Residensi merupakan jalan utama untuk kesemua kenderaan termasuk kenderaan kecemasan seperti ambulans dan bomba.

Iklan

“Ruang memang sempit. Saya terpaksa elak secara tiba-tiba dan hampir terlanggar kereta itu. Kalau silap sedikit, saya mungkin terjatuh.

"Jalan ini adalah jalan utama, banyak kenderaan menggunakannya. Jadi mereka yang meletakkan kenderaan di bahu jalan, menyebabkan jalan raya di sini sempit dan sesak," katanya ketika ditemui di sini.

Menurut seorang lagi penunggang motosikal, Mohd Hafiz Abdullah, 28, keadaan tersebut sudah menjadi kebiasaan dan sangat berbahaya terutama ketika trafik sesak.

“Kami tiada pilihan selain menyelit. Kereta parkir di tepi jalan buat lorong makin kecil dan risiko kemalangan memang tinggi.

"Saya hairan, kenapa penguat kuasa tak ambil tindakan saman atau tunda kenderaan-kenderaan ini seperti di kawasan-kawasan lain seperti di pusat bandar? Tindakan mereka ini jelas tidak mengikut undang-undang," katanya.

Sementara itu, Intan Farina Ismail, 40-an yang menggunakan laluan berkenaan setiap hari berkata, penunggang motosikal sering terdedah kepada risiko dilanggar dari belakang atau terlanggar pintu kereta yang dibuka secara tiba-tiba.

“Pernah hampir kena pintu kereta yang dibuka tanpa tengok keadaan. Ini bukan isu kecil, boleh melibatkan nyawa.

"Saya berharap agar pihak berkuasa mengambil tindakan sewajarnya segera. Perkara ini bukan baru, sudah lama tetapi ia seolah-olah tiada tindakan menyebabkan mereka semakin tidak takut untuk meletakkan kenderaan di tepi jalan," katanya.

Selain penunggang motosikal, pengguna jalan raya lain turut mendakwa keadaan bertambah berbahaya apabila pemandu terpaksa menukar lorong secara mendadak bagi mengelak kenderaan yang diparkir.

Tinjauan mendapati, kebanyakan kenderaan tersebut adalah milik individu yang mempunyai urusan di HPP.

Sebahagian mereka didakwa memilih untuk meletakkan kenderaan di bahu jalan bagi menjimatkan masa atau mengelak bayaran parkir.

Keadaan Jalan Residensi yang menjadi sempit disebabkan mereka yang tidak bertanggungjawab meletakkan kenderaan mereka di bahu jalan.

Hakikatnya, hospital berkenaan menyediakan kemudahan parkir bertingkat yang mencukupi untuk pesakit, pelawat dan kakitangan.

Bagaimanapun, kemudahan itu dilihat tidak dimanfaatkan sepenuhnya sekali gus mencerminkan sikap kurang bertanggungjawab segelintir pengguna jalan raya.

Lebih membimbangkan, tindakan parkir di laluan utama boleh menghalang pergerakan kenderaan kecemasan.

Ambulans dan jentera bomba berisiko menghadapi kesukaran untuk melalui jalan tersebut sekiranya berlaku kecemasan.

Sehubungan itu, pihak berkuasa tempatan serta polis trafik digesa mengambil tindakan tegas dan konsisten terhadap pemilik kenderaan-kenderaan tersebut.