'Naikkan BAP jadi RM200 boleh diteliti namun RM150 masih rasional' - Mohamad

Iklan
Mohamad (tiga dari kiri) menyampaikan wang BAP 2026 di SMK Sungai Ara pada Khamis.

BAYAN LEPAS – Cadangan segelintir ibu bapa supaya Bantuan Awal Persekolahan (BAP) dinaikkan kepada RM200 boleh dipertimbangkan, namun kadar RM150 yang dilaksanakan ketika ini masih dilihat rasional berdasarkan kos semasa keperluan asas persekolahan.

Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Dr Mohamad Abdul Hamid berkata, jumlah tersebut ditetapkan hasil penelitian terhadap harga barangan asas persekolahan termasuk pakaian sekolah, kasut, stoking dan alat tulis.

Iklan
Iklan

Menurutnya, pandangan ibu bapa yang mencadangkan kadar bantuan dinaikkan boleh dijadikan input kepada kementerian untuk pertimbangan pada masa akan datang.

“Buat masa ini, RM150 adalah jumlah yang munasabah dan selari dengan harga pasaran. Namun, pandangan rakyat sentiasa kita dengar dan boleh dipertimbangkan.

Iklan

“Saya sendiri telah turun ke kira-kira 20 premis perniagaan terpilih dan mendapati pembelian barangan asas persekolahan oleh ibu bapa kebanyakannya tidak melebihi RM150,” katanya ketika ditemui selepas menyampaikan BAP 2026 Daerah Barat Daya di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Ara di sini pada Khamis.

Menurut beliau, bagi kawasan Dewan Undangan Negeri Batu Maung, sebanyak RM4.3 juta diperuntukkan khusus untuk daerah Barat Daya yang melibatkan lebih 27,000 pelajar.

Iklan

“Di SMK Sungai Ara sahaja, seramai 1,200 pelajar menerima manfaat bantuan ini. Bantuan berjumlah RM150 kepada semua pelajar tanpa mengira latar belakang pendapatan isi rumah mula dilaksanakan sejak 2023 di bawah Kerajaan Madani.

“Sebelum ini, bantuan hanya diberikan kepada isi rumah berpendapatan RM3,000 ke bawah, namun kini ia bersifat menyeluruh dan inklusif,” ujarnya.

Beliau berkata, dasar tersebut diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika pembentangan Belanjawan 2026 dengan peruntukan keseluruhan sebanyak RM790.25 juta di peringkat nasional.

Menurutnya lagi, di Pulau Pinang sahaja, lebih 100,000 pelajar daripada 397 sekolah menerima manfaat BAP melibatkan peruntukan sebanyak RM34.1 juta daripada Kementerian Pendidikan.

“Agihan ini sedikit sebanyak membantu mengurangkan beban keluarga, khususnya golongan B40 dan M40 dalam menghadapi kos awal persekolahan.

“Terima kasih kepada Perdana Menteri dan Kerajaan Madani yang terus cakna terhadap rakyat dengan memastikan semua pelajar menerima bantuan tanpa mengira latar belakang pendapatan,” katanya.

Untuk rekod, kerajaan memperuntukkan lebih RM800 juta bagi pelaksanaan BAP tahun ini yang memberi manfaat kepada kira-kira 5.2 juta murid dari Tahun Satu hingga Tingkatan Enam di seluruh negara.