PEKAN – “Sekarang nak pergi jumpa pakar di hospital pun saya terpaksa fikir banyak kali, apatah lagi nak sediakan duit RM7,000 untuk beli mesin pernafasan.”
Demikian luahan suri rumah, Sarimah Daud, 47, yang buntu memikirkan kos bagi membeli peralatan tersebut demi menangani masalah jantung dan asma yang dihidapinya sejak beberapa tahun lalu.
Menurutnya, doktor menyarankan penggunaan mesin bantuan pernafasan di rumah bagi menyokong fungsi paru-parunya untuk tempoh sekurang-kurangnya enam bulan.
“Saya sepatutnya bertemu pakar di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) pada Selasa lalu (13 Januari), tetapi janji temu itu terpaksa ditangguhkan kerana kekangan belanja.
“Doktor maklumkan saya mungkin perlu ditahan di wad bagi penyelarasan mesin itu sebelum dibenarkan dibawa pulang untuk guna sendiri.
“Tetapi masalahnya, untuk kos perjalanan ke hospital pun saya sudah sesak, apatah lagi mahu beli peralatan semahal itu. Terus terang, saya buntu memikirkannya,” katanya ketika dihubungi pada Khamis.
Sarimah turut menderita penyakit darah tinggi, kencing manis serta masalah buah pinggang tahap tiga.
Ujarnya, kini dia bergantung sepenuhnya kepada pemantauan rapi doktor pakar di HTAA bagi mengelakkan berlakunya komplikasi.
Dia yang menetap di Taman Agro Politan Batu 8, Lepar mengakui sering dihimpit kerisauan mengenai sumber kewangan setiap kali tiba tarikh janji temu hospital.
Sarimah memberitahu, suaminya, Zainal Mohamed, 60, bekerja sendiri dengan pendapatan tidak menentu selain perlu menanggung seorang anak berusia lapan tahun.
“Saya tahu rawatan kesihatan ini penting, tetapi dalam keadaan sekarang, saya memang tiada punca kewangan.
“Pendapatan suami sekitar RM50 hingga RM60 sehari hanya cukup untuk belanja harian. Walaupun ada kalanya kami cuba menyimpan RM10 sehari, ia masih belum mencukupi,” ujarnya.
Dia mengharapkan ihsan orang ramai bagi meringankan beban yang ditanggung ketika ini demi kelangsungan hidup.
“Saya sangat perlukan mesin bantuan pernafasan ini supaya kesihatan kembali stabil dan dapat jalani kehidupan seperti biasa,” tambahnya.
Orang ramai yang ingin membantu boleh menyalurkan sumbangan ke akaun CIMB Bank (7036727526) atas nama Sarimah Daud.