Pasangan pengantin terima kurniaan istimewa daripada Sultan Pahang

Iklan
Rosyamimie Syahira (kiri) dan suaminya, Muhammad Shah Amirul menerima tiga hadiah kurniaan Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah yang sampai wakil istana,Anuar (kiri) di kediaman mereka di Kampung Paya Pulai pada Selasa. Foto FB Kesultanan Pahang.

TEMERLOH – Tiga 'hantaran' kurniaan Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menjadi hadiah perkahwinan paling bermakna buat sepasang pengantin baharu di sini.

Muhammad Shah Amirul Mustaffa, 24, berkata pemberian berupa sebuah televisyen, set pinggan dan sudu itu dianggap sebagai 'rezeki terpijak' buat beliau dan isterinya, Rosyamimie Syahira Rosli.

Iklan
Iklan

Menurut peniaga pakaian terpakai itu, mereka mempunyai kaedah tersendiri untuk menzahirkan penghargaan terhadap barangan keperluan kurniaan tersebut, antaranya dengan menyimpan sebahagian daripada pemberian yang diterima.

Rosyamimie Syahira (kiri) dan Muhammad Shah Amirul (kanan) menunjukkan televisyen, set pinggan mangkuk dan sudu yang diterima daripada Sultan Pahang dan Tengku Ampuan. Foto Muhammad Shah Amirul.

Iklan

"Televisyen ini akan kami gunakan di rumah sewa nanti, tetapi set pinggan dan sudu pula akan disimpan rapi sebagai 'khazanah' paling berharga seumur hidup.

"Sekurang-kurangnya anak cucu kami boleh melihatnya satu hari nanti dan tahu betapa prihatinnya Tuanku berdua terhadap rakyat biasa,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini pada Rabu.

Iklan

Pada 3 Januari lalu, tular di media sosial momen indah pasangan tersebut apabila Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah berkenan singgah secara spontan menyantuni mereka ketika sedang menjalani sesi fotografi di menara jam berhampiran Istana Sri Udara.

Lebih mengharukan, pertemuan singkat itu disusuli kunjungan wakil Istana, Pegawai Agama Istana, Leftenan Kolonel Anuar Mohd Ehwal, yang menyampaikan kurniaan berkenaan di kediaman mereka di Kampung Paya Pulai pada Selasa.

Menceritakan kembali detik berkenaan, Muhammad Shah Amirul mengakui langsung tidak menyangka akan menerima kurniaan daripada Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah.

“Kami hanya orang biasa, tidak pernah terfikir mendapat hadiah daripada Baginda... rasa macam dalam mimpi.

"Bukan satu, tetapi tiga hadiah diterima... perasaan itu memang sukar digambarkan dengan kata-kata," luah anak keempat daripada enam beradik itu.

Ditanya mengenai detik pertemuan dengan pasangan diraja itu, Muhammad Shah Amirul memberitahu, segalanya bermula apabila mereka memberanikan diri memohon izin untuk bergambar sebaik menyedari keberangkatan keluar kenderaan Baginda berdua.

"Tidak sangka, Tuanku terus berkenan berhenti dan turun dari kenderaan untuk menyantuni kami. Baginda sangat mesra dan tidak banyak protokol," ceritanya lagi.

Dalam pada itu, Muhammad Shah Amirul turut menzahirkan rasa syukur dan mendoakan kesejahteraan Baginda berdua agar sentiasa diberikan kesihatan yang baik, dilanjutkan usia serta dimurahkan rezeki.