'Saya mahu sihat demi anak, suami'

Iklan
Siti Nabilah menunjukkan laporan perubatan berkaitan penyakit jantung berlubang yang dihidapinya sejak 2022 di kediamannya di Temerloh.

TEMERLOH - Rasa takut dan cemas sering menghantui dirinya setiap kali menanti panggilan hospital, namun seorang pembantu klinik swasta tetap tabah menjalani rawatan menutup lubang pada jantung demi memastikan dia terus sihat bersama keluarga tercinta.

Siti Nabilah, 36, berkata, perasaan itu perlu dikawal kerana dia mahu kembali sihat demi anak-anak dan suami.

Iklan
Iklan

“Bila fikir pasal rawatan ini, saya rasa takut dan gelisah walaupun ia bukan pembedahan terbuka.

“Suami dan anak-anak menjadi pendorong untuk saya terus kuat kerana saya mahu sihat demi mereka,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Isnin.

Iklan

Bercerita mengenai penyakit yang dihidapi, ibu kepada empat anak itu memberitahu penyakit jantung berlubang dikesan selepas dia menjalani pembedahan bersalin pada Mac 2022 ketika positif Covid-19.

Menurutnya, pemeriksaan lanjut mendapati terdapat lubang kira-kira dua sentimeter pada jantungnya, yang menyebabkan keadaan kesihatannya tidak menentu.

Iklan

“Sejak itu, saya sering mengalami pening, cepat letih, sesak nafas, malah pernah pitam secara tiba-tiba sehingga menjejaskan rutin harian,” ujarnya.

Siti Nabilah berkata, doktor memaklumkan dia perlu menjalani rawatan untuk menutup lubang pada jantung menggunakan kaedah ASD Occlusion.

Katanya, rawatan itu dilakukan dengan memasukkan alat khas yang dipanggil 'septal occluder' melalui tiub halus di salur darah pangkal paha sebelum dibawa ke jantung untuk menutup lubang berkenaan.

“Prosedur ini dijalankan di bilik khas dengan pesakit diberikan bius penuh. Proses itu menggunakan panduan sinar-X dan imbasan ultrasound jantung bagi memastikan alat dipasang dengan tepat.

"Rawatan itu dijadualkan di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), Kuantan dan bergantung kepada panggilan hospital," katanya.

Siti Nabilah yang menetap di Taman Temerloh Jaya mengakui sedikit tertekan memikirkan kos rawatan yang perlu ditanggung.

Katanya, dia kini hanya bergantung kepada pendapatan sebagai pembantu klinik swasta, manakala suaminya bekerja sendiri untuk menampung perbelanjaan keluarga termasuk kos persekolahan anak-anak.

Orang ramai yang ingin membantu meringankan beban keluarga ini boleh menyalurkan sumbangan ke akaun Maybank 156020527606 atas nama Siti Nabilah Suhaimi.