KUANTAN - Kerajaan Negeri Pahang meneruskan pelaksanaan Program Tunas Makmur tahun ini bagi membantu pelajar sekolah rendah dan menengah khususnya daripada golongan miskin dan miskin tegar.
Program di bawah Inisiatif Makmur Pahang yang bermula sejak 2022 itu menyediakan set bantuan peralatan pembelajaran bernilai RM100 lengkap dan berjenama termasuk beg sekolah, alat tulis serta kelengkapan pembelajaran.
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, bagi pelajar sekolah menengah, mereka turut menerima kalkulator saintifik dan set geometri.
Menurutnya, sebagai penambahbaikan tahun ini, kerajaan negeri turut memperkenalkan baucar pakaian sekolah bernilai RM100 yang boleh ditebus di Pasaraya Sakan, Pusat Pakaian Hari-Hari, MBS Bookstore dan Rex Trading.
"Seramai 68,000 pelajar dijangka menerima manfaat program ini melibatkan semua pelajar tahun satu serta pelajar miskin tegar dari tahun dua hingga tingkatan lima.
"Inisiatif ini melibatkan siling peruntukan keseluruhan RM14.8 juta," katanya melalui kenyataan pada Isnin.
Wan Rosdy sebelum itu hadir menyempurnakan sesi penyampaian kit Tunas Makmur kepada 130 murid di Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Bentong, Bentong pada Isnin.
Tambah beliau, bantuan kit Tunas Makmur disampaikan secara serentak pada hari pertama persekolahan di semua sekolah seluruh Pahang.
Sementara itu katanya, kerajaan negeri dengan kerjasama MBS Bookstore turut menyediakan kad diskaun 30 peratus kepada semua pelajar termasuk pelajar tadika dan institusi pengajian tinggi (IPT), guru serta pensyarah di seluruh Pahang.
"Kerajaan negeri akan terus komited memastikan kebajikan dan pendidikan anak-anak Pahang terus menjadi keutamaan," katanya.
Terdahulu melalui hantaran di Facebooknya, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jelai itu mengucapkan selamat kembali ke sekolah kepada semua pelajar serta seluruh warga pendidik di negeri ini.
"Semoga sesi 2026 ini dimulakan dengan azam yang segar, semangat yang tinggi dan tekad yang jitu untuk terus mencipta kecemerlangan bukan sahaja dalam bidang akademik dan kokurikulum malah pembentukan sahsiah, jati diri serta nilai murni.
"Mudah-mudahan setiap usaha dan pengorbanan yang dicurahkan diberkati ALLAH SWT, dipermudahkan segala urusan, serta membuahkan hasil yang cemerlang dan membanggakan buat diri, keluarga, negeri dan negara. Insya-ALLAH," doanya.