IPOH - Enakmen Peguam Syarie Negeri Perak perlu disegerakan bagi mengekang penularan amalan guaman di luar kerangka syariah seperti kewujudan ‘coach cerai’ dan isu kartel hibah yang mencalar imej profesion peguam syarie.
Pengerusi Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) Cawangan Negeri Perak, Adham Jamalullail Ibrahim berkata, ketiadaan undang-undang khusus telah membuka ruang kepada pihak tidak bertauliah menawarkan khidmat nasihat perundangan tanpa sebarang kawalan serta garis panduan yang jelas.
"Dalam konteks negeri Perak, usaha menggubal enakmen ini sebenarnya telah bermula sejak 2022 dengan kerjasama Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Perak, sekarang tahun 2026, nampaknya kita agak terlewat.
"Di peringkat awal, draf enakmen ini perlu melalui penelitian dan kelulusan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak sebelum dibawa ke Dewan Undangan Negeri (DUN).
"Mengikut perancangan asal, ia sepatutnya dibentangkan pada tahun lalu, namun tertangguh sehingga sekarang dan kita sendiri tidak pasti bila proses ini akan selesai," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui dalam Majlis Pembukaan Tahun Perundangan Syariah 2026 yang disempurnakan Ketua Hakim Syarie Perak, Datuk Ab Rahman Thobroni Mohd Mansor di Dewan Bankuet Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Perak di sini pada Khamis.
Adham Jamalullail berkata, penggubalan enakmen berkenaan akan membolehkan penubuhan sebuah Majlis Peguam Syarie yang berfungsi mengawal selia semua pengamal guaman Syariah di negeri ini, seperti mana peranan Badan Peguam Malaysia dalam sistem perundangan sivil.
"Dengan adanya enakmen ini, mudah-mudahan apa yang berlaku di Johor (kartel hibah) itu tidak berlaku kerana ada undang-undang yang akan menjadi amalan do and don't kepada peguam.
"Ini adalah perkara-perkara yang kita rasa sangat penting untuk diusahakan dan disegerakan," katanya.
Sementara itu, Ab Rahman Thobroni dalam ucapannya berkata, Mahkamah Syariah Perak bersedia melaksanakan prosiding kes secara dalam talian pada tahun ini, khususnya bagi prosiding pengurusan kes di peringkat sebutan dan Majlis Sulh, sebagai usaha meningkatkan kecekapan penyampaian keadilan.
Menurutnya, pelaksanaan prosiding dalam talian itu akan diteruskan secara terkawal dan berhemah bagi kes-kes yang bersesuaian, dengan mengambil kira kepentingan keadilan, pemeliharaan hak pihak-pihak terlibat serta pematuhan kepada hukum syarak dan peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.
"Pendekatan ini bertujuan memudahkan pihak-pihak yang berdepan kekangan untuk hadir secara fizikal ke mahkamah, sama ada disebabkan faktor jarak, keadaan kesihatan atau komitmen lain yang munasabah," katanya.
Tambah beliau, pelaksanaan prosiding secara dalam talian membolehkan sesuatu kes diteruskan tanpa tangguhan yang tidak perlu, sekali gus memastikan perjalanan prosiding yang lebih teratur, efisien serta menepati prinsip ketelusan dan kesaksamaan dalam pemeliharaan hak semua pihak.
"Bagi menyokong inisiatif ini, kerajaan negeri telah memperuntukkan kemudahan persidangan video di Mahkamah Syariah Ipoh dan Mahkamah Syariah Taiping iaitu dua mahkamah yang merekodkan jumlah pendaftaran kes tertinggi di Perak.
"Langkah ini mencerminkan komitmen Mahkamah Syariah Perak untuk memperluas akses kepada keadilan dengan menjadikannya lebih inklusif, mudah dicapai serta selari dengan keperluan dan realiti masyarakat masa kini," katanya.