KUALA KANGSAR - Pembayaran zakat tidak pernah mengurangkan rezeki sebaliknya menjadi amalan yang membersih dan menambahkan harta.
Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal berkata, prinsip itu dipegangnya sejak sedekad lalu apabila konsisten menunaikan zakat dalam jumlah besar setiap tahun.
Menurutnya, penyerahan zakat berjumlah RM2.3 juta pada Sabtu merupakan kali ke-10 dilakukannya di Perak, sekali gus memberi manfaat kepada golongan asnaf khususnya di kawasan Parlimen Bukit Gantang.
"Zakat ini wajib, tak boleh kompromi. Sedekah pula atas kerelaan kita. ALLAH SWT dan Nabi SAW beritahu, apabila kita bersedekah ia akan membersih dan menambahkan harta.
"Alhamdulillah, sepanjang saya amalkan ini, saya tak pernah rasa harta berkurang," katanya kepada pemberita.
Beliau ditemui selepas menyerahkan zakat perniagaan berjumlah RM2.3 juta sempena Majlis Penyerahan Zakat dan Berbuka Puasa yang disempurnakan oleh Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, di Istana Iskandariah, Bukit Chandan di sini pada Sabtu.
Syed Abu Hussin turut menyeru umat Islam supaya tidak berkira dalam menunaikan zakat dan bersedekah kerana amalan itu mampu memastikan tiada golongan yang terus hidup dalam kesusahan.
Sementara itu, beliau berkata, menerusi kaedah wakalah yang dilaksanakan, sebanyak 50 peratus daripada jumlah zakat yang dibayar akan dikembalikan kepadanya untuk diagihkan sendiri kepada asnaf di kawasannya.
"Jika jumlahnya RM2.3 juta, RM1.15 juta akan diberi semula kepada saya untuk saya sampaikan kepada asnaf di Bukit Gantang.
"Saya serahkan secara rasmi kepada kerajaan dan secara sahnya kerajaan beri balik separuh. Itu bukan sedekah, tetapi zakat yang wajib disalurkan kepada golongan layak," katanya.
Menurut Syed Abu Hussin, konsep zakat dalam ekonomi Islam amat jelas kerana hak orang susah sebenarnya berada di tangan orang kaya.
Dalam pada itu, beliau mengakui jumlah asnaf di Bukit Gantang agak ramai, namun tidak semuanya berdaftar secara rasmi.
Katanya, terdapat pelbagai kategori asnaf termasuk mereka yang berpendapatan sederhana tetapi berdepan komitmen tinggi sehingga menjejaskan keperluan asas.