Konvoi 170 km bawa anak yatim beli baju raya

Iklan
Mohd Nazari (kanan) membantu memilih pakaian dan kelengkapan Aidilfitri buat anak-anak yatim yang dibawa dari kawasan Parlimen Pasir Salai di Pasar raya Besar Mydin Meru Raya di sini pada Ahad.

IPOH - Demi menggembirakan anak yatim, lima pertubuhan bukan kerajaan (NGO) termasuk kelab permotoran bergabung mengadakan konvoi sejauh kira-kira 170 kilometer dari Pasir Salak ke Ipoh untuk membeli kelengkapan Aidilfitri di Pasar raya Besar Mydin Meru Raya di sini pada Ahad.

Program Jom Kejar Saham Akhirat 2026 anjuran Skuad Prihatin itu disertai seramai 120 anak yatim bersama 250 pengiring termasuk ibu bapa angkat kanak-kanak tersebut.

Iklan
Iklan

Penaung Skuad Prihatin, Mohd Nazari Sabran berkata, idea penganjuran program tersebut tercetus hasil komitmen pihaknya yang kerap turun padang membantu masyarakat termasuk melalui program Back to School sebelum ini.

Menurutnya, sebelum ini bantuan hanya dilaksanakan di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN), namun terdapat aduan daripada kawasan lain yang tidak menerima manfaat sama.

Iklan

"Apabila kita buat program Back to School sebelum ini, ia hanya di peringkat DUN Sungai Manik. Di Kampung Gajah ada yang bertanya kenapa mereka tidak terlibat.

"Jadi kita komited bersama pasukan Skuad Prihatin untuk laksanakan program pada skala lebih besar meliputi seluruh Parlimen Pasir Salak supaya tiada yang tercicir atau terpinggir,” katanya ketika ditemui pada program berkenaan.

Iklan

Sebahagian sukarelawan yang terlibat dalam Program Jom Kejar Saham Akhirat 2026 anjuran Skuad Prihatin yang disertai seramai 120 anak yatim bersama 250 pengiring termasuk ibu bapa angkat kanak-kanak tersebut.

Mohd Nazari berkata, penerima dipilih mengikut lima zon iaitu dua zon di Sungai Manik (Labu Kubong dan Sungai Manik) serta tiga zon di Kampung Gajah (Kampung Gajah Tengah, Pekan Kiri dan Anak Sungai).

Menurut Naib Ketua UMNO Bahagian Pasir Salak itu, program membawa anak yatim membeli baju raya pernah dilaksanakan sebelum ini namun dalam skala lebih kecil dan tertumpu di kawasan tertentu sahaja.

Sementara itu, Pengerusi Skuad Prihatin, Mohd Rossidi Ismail berkata, program tersebut bukan yang pertama dianjurkan pihaknya.

Menurutnya, pada 2019 pihaknya pernah membawa anak yatim membeli kelengkapan raya di lokasi sama sebelum memberi tumpuan kepada program membeli pakaian sekolah untuk anak-anak sekitar Parlimen Pasir Salak pada tahun-tahun berikutnya.

"Setiap tahun hampir 150 penerima kita bantu melalui program Back to School.

"Cuma tahun ini kita hentikan sementara dan tukar kepada program Jom Raya untuk memberi sedikit kegembiraan kepada anak-anak yatim menyambut Syawal,” katanya.

Beliau berkata, konvoi berkenaan melibatkan 43 kenderaan dari kawasan Kampung Gajah serta sembilan kereta dan sebuah van dari Sungai Manik.

"Kenderaan yang terlibat terdiri daripada ahli Skuad Prihatin sendiri, Kelab Perdana V-Sixers, Kelab Kereta 4x4 dan Belia Seberang Perak.

"Kami bertolak dari Masjid Al-Ansar Changkat Lada pada jam 12 tengah hari dan tiba di Meru sekitar jam 2 petang selepas menempuh perjalanan kira-kira 170 kilometer,” katanya.

Menurutnya, kerjasama antara Skuad Prihatin dan Mohd Nazari bukanlah yang pertama, malah sudah memasuki kali keempat atau kelima dengan beliau dilantik sebagai penaung pertubuhan itu di Parlimen Pasir Salak.